Delegasi UUM TVET sertai MCIEF 2026 perkukuh jaringan industri dan pendidikan TVET
Berita dan gambar oleh Prof. Madya Ts. Dr. Hj. Shanusi Bin Hj. Ahmad
BANGI, 7 Jun 2026 – Pengurusan TVET Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai The 3rd Malaysia-China International Industry-Education Cooperation Forum and 5th Malaysia-China Vocational Education Fair 2026 (MCIEF 2026) yang berlangsung sempena Sambutan Hari TVET Negara di Hotel Tenera, Bangi.
Program ini menghimpunkan pelbagai institusi pendidikan, agensi kerajaan, pemain industri, penyedia latihan serta rakan strategik dari Malaysia dan China bagi membincangkan hala tuju pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET).

Delegasi Pengurusan TVET UUM diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Hj. Shanusi bin Hj. Ahmad, bersama Dr. Norwahida binti Yakub @ Yaakub dan Puan Siti Maisara binti Mohd. Rozainee.
Kehadiran delegasi ini bertujuan mendapatkan pendedahan terhadap perkembangan terkini ekosistem TVET, memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pendidikan dan industri, serta meneroka peluang kolaborasi strategik yang dapat menyokong pembangunan program TVET di UUM.
Sepanjang forum berlangsung, pelbagai isu strategik dibincangkan termasuk pembangunan bandar pendidikan bersepadu (Integrated Education Cities), penyelarasan pembangunan kemahiran mengikut keperluan industri, mobiliti bakat merentas negara, pemindahan teknologi serta laluan kerjaya bagi graduan TVET.
Perbincangan tersebut memberi penekanan bahawa pembangunan TVET pada masa hadapan perlu bergerak melangkaui pensijilan semata-mata dengan membina ekosistem pembangunan bakat yang menyeluruh dan mampan.
Forum ini turut membuka ruang kepada Pengurusan TVET UUM untuk memperluaskan kerjasama dengan rakan strategik tempatan dan antarabangsa, khususnya dalam bidang pembangunan bakat, perkongsian teknologi, latihan bersama serta penyediaan peluang pekerjaan di peringkat nasional dan global.

Selain itu, forum turut menekankan kepentingan memastikan program TVET sentiasa dikemas kini selaras dengan perkembangan teknologi dan kehendak industri bagi melahirkan graduan yang lebih kompetitif dan berdaya saing.
Penyertaan dalam MCIEF 2026 dilihat memberi nilai tambah yang signifikan kepada Pengurusan TVET UUM dari aspek pendedahan, jaringan strategik dan penambahbaikan program, sekali gus memperkukuh komitmen universiti dalam membangunkan ekosistem TVET yang responsif terhadap keperluan industri dan pembangunan modal insan negara.



