Campus

DMI anjur Kem Pemimpin Muda Prihatin Air Kebangsaan 2026, perkasa generasi muda dalam kelestarian air

Berita dan gambar oleh: Shahrul Niza Binti Said

BALING, 24 Jun 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Disaster Management Institute (DMI) di bawah Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) terus mengukuhkan peranannya dalam memperkasa pendidikan komuniti berkaitan pengurusan sumber air dan kelestarian alam sekitar apabila berjaya menganjurkan Kem Pemimpin Muda Prihatin Air Kebangsaan 2026 (KPMPAK) di Pusat Rekreasi Ai Panas Ulu Legong, Baling, Kedah.

Program selama empat hari bermula 21 hingga 24 Jun itu menghimpunkan peserta dan guru pengiring daripada tujuh buah sekolah sekitar Kedah, Perak, Perlis, dan Pulau Pinang dengan objektif membina kesedaran, kepimpinan dan tanggungjawab generasi muda terhadap pengurusan sumber air serta pemeliharaan alam sekitar.

Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim, Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, selaku wakil tuan rumah. Dalam ucapan penutupnya, beliau menegaskan bahawa program seperti ini memberi impak besar dalam membentuk generasi muda yang lebih cakna, berpengetahuan dan bersedia menjadi pemimpin masa depan dalam mendepani isu berkaitan sumber air, perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar.

Menurut beliau, program ini bukan sahaja memberi pendedahan ilmu secara teori dan praktikal, malah menjadi platform penting dalam membentuk nilai kepimpinan, daya tahan, kerja berpasukan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta, sekali gus melahirkan generasi yang lebih bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Puan Syazliana Abu Omar, Ketua Penolong Pengarah, Humid Tropics Centre Kuala Lumpur, yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program berkenaan.

Turut hadir ialah Puan Normaliza Noordin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Latihan dan Penerangan Awam, UNESCO-IHP Malaysia.

Sepanjang kem berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai modul berkaitan pengurusan sumber air, ekohidrologi, tanah lembap (wetland), perubahan iklim, bioindikator serta pengurusan air sisa. Pengisian ini selari dengan aspirasi global Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi), SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim) dan SDG 15 (Kehidupan di Darat).

Modul-modul tersebut telah disampaikan oleh pakar-pakar daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan institusi pengajian tinggi yang berwibawa, antaranya Nuclear Malaysia, Hydro Training Centre (HTC) Kuala Lumpur, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sungai, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Perbadanan Putrajaya, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) serta Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY), Indonesia. Penglibatan pelbagai organisasi ini telah memperkayakan pengalaman pembelajaran peserta melalui perkongsian ilmu, penyelidikan dan amalan terbaik dalam pengurusan air serta kelestarian alam sekitar.

Penganjuran KPMPAK 2026 turut menyerlahkan peranan signifikan Disaster Management Institute sebagai peneraju dalam memperkasa pendidikan komuniti berkaitan pengurusan risiko bencana, kelestarian sumber air dan kesiapsiagaan masyarakat. Melalui pendekatan berasaskan pendidikan, advokasi dan libat urus komuniti, DMI UUM terus komited menjadi platform penghubung antara institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan, badan antarabangsa dan masyarakat dalam membina komuniti yang lebih berdaya tahan serta responsif terhadap cabaran alam sekitar dan perubahan iklim.

Usaha ini sekali gus memperkukuh komitmen berterusan UUM dalam mendukung agenda pembangunan mampan, membina jaringan kolaborasi strategik serta melahirkan pemimpin muda yang berdaya saing, berilmu dan prihatin terhadap masa depan sumber air negara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button