Gambar oleh: Khairul Anuar Adnan
PAUH PUTRA, 10 Jun 2026 – Komitmen memperkasakan literasi kewangan dalam kalangan mahasiswa terus diperkukuh apabila Dana Sosial Takaful (STF), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya menganjurkan Program Hari Celik Kewangan (HACK) @ IPT 2026 di Dewan Ilmu, UniMAP Pauh Putra.
Program yang berlangsung selama dua hari berjaya menarik penyertaan seramai 200 orang pelajar daripada pelbagai bidang pengajian, sekali gus menjadi platform terbaik dalam meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan pengurusan kewangan, simpanan serta perancangan persaraan.

Sepanjang program berlangsung, peserta berpeluang mengunjungi pameran agensi KWSP serta menyertai sesi perkongsian ilmu yang memberi pendedahan secara langsung berkaitan realiti pengurusan kewangan masa kini dan masa hadapan.
Menurut Pengarah Program HACK @ IPT 2026, Encik Mohd Saharudin Shakrani, mahasiswa perlu melihat pengurusan kewangan sebagai satu kemahiran hidup yang wajib dikuasai, bukan sekadar pengetahuan tambahan.
Beliau berkata, “Kesedaran kewangan perlu dibina lebih awal kerana ia menjadi asas kepada kestabilan hidup seseorang. Mahasiswa hari ini adalah generasi pemimpin masa depan, dan mereka perlu memahami bagaimana mengurus wang, merancang simpanan dan membuat keputusan kewangan yang bijak sebelum melangkah ke alam pekerjaan.”

Tambah beliau, penganjuran HACK @ IPT 2026 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan STF IBS UUM dalam memperluaskan pendidikan kewangan kepada masyarakat kampus melalui kerjasama strategik bersama agensi seperti KWSP.
Antara pengisian utama program ialah sesi perkongsian oleh Dr. Mohamad Yazid Isa, pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM), yang berkongsi mengenai kepentingan literasi kewangan, tabiat pengurusan wang yang sihat dan strategi perancangan kewangan yang efektif bagi membantu mahasiswa membina asas kewangan yang lebih stabil.

Program diteruskan dengan slot khas bertajuk Perancangan Persaraan yang telah disampaikan oleh Encik Amar Afifi Omar daripada KWSP. Dalam sesi tersebut, peserta diberi pendedahan berkaitan kepentingan memulakan simpanan lebih awal, strategi membina dana persaraan serta kemudahan-kemudahan yang ditawarkan KWSP kepada golongan muda.
Program ini mendapat sambutan yang amat positif daripada peserta yang dilihat aktif berinteraksi dan menunjukkan minat mendalam terhadap topik yang dibincangkan. Inisiatif seperti ini diharap dapat terus memperkukuh budaya celik kewangan dalam kalangan mahasiswa serta melahirkan generasi yang lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa depan. – Mohd Saharudin



