Campus

Jelajah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UUM ke AGNUUM

Berita dan gambar oleh: Salwa Hanim Adam

SINTOK, 29 Julai 2026 – Akademi Golf Nasional Universiti Utara Malaysia (AGNUUM) telah menerima kunjungan delegasi Jelajah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 29 Julai 2026 (Rabu) bertempat di Bilik Serbaguna Kelab Golf Sultan Salehuddin.

Program yang bermula pada jam 2.30 petang itu bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara AGNUUM dengan jabatan di bawah naungan TNC P&I UUM, khususnya yang memfokus aspek penyelidikan, inovasi, pembangunan infrastruktur dan infostruktur serta penerokaan peluang penjanaan pendapatan.

Delegasi Jelajah TNC P&I UUM ke AGNUUM di hadiri oleh Prof. Dr. Nor Idayu Mahat, yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi); Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain, Pengarah RMC; Prof. Madya Dr. Nor Azlina Mohd Noor, Timbalan Pengarah ICC; Dr. Safwan Marwin Abdul Murad, mewakili Pengarah CUIC; Dr. Mohd. Herry Mohd. Nasir, mewakili Pengarah UUMIT; Ts. Ahmad Khairul Wafi Osman yang mewakili Pengarah JPPI; serta Encik Zul Rusydi Hussin, Ketua Penolong Pengarah JHEPPI. Para pegawai dan kakitangan AGNUUM turut hadir dalam sesi jelajah tersebut.

Perbincangan dua hala memberi tumpuan kepada isu dan keperluan berkaitan menaiktaraf infrastruktur dan infostruktur AGNUUM yang telah menjangkau usia 15 tahun. Potensi penggunaan kemudahan serta kepakaran yang tersedia di AGNUUM turut dibincangkan bagi menyokong aktiviti penyelidikan, latihan dan pembangunan profesional.

Dalam sesi tersebut, Prof. Dr. Nor Idayu Mahat turut mencadangkan agar penyelidikan yang lebih berfokus dilaksanakan bagi mengenal pasti peluang untuk menjana pendapatan kepada AGNUUM dan UUM melalui pengoptimuman kepakaran serta fasiliti sedia ada.

Potensi yang dikenal pasti termasuk pemanfaatan kepakaran dalam bidang kejurulatihan golf (golf coaching), latihan dan pembangunan kemahiran golf, di samping penggunaan fasiliti AGNUUM sebagai platform bagi pelaksanaan program latihan, penyelidikan, khidmat kepakaran dan aktiviti berkaitan industri golf.

Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan pensyarah dan warga akademik AGNUUM dalam menjalankan kajian yang bersesuaian bagi mengenal pasti model penjanaan pendapatan yang mampan serta berpotensi untuk dikembangkan pada masa hadapan.

Hal ini dilihat mampu membuka ruang yang lebih luas dalam mengintegrasikan penyelidikan, kepakaran akademik dan kejurulatihan, fasiliti serta keperluan industri, sekali gus memperkukuh peranan AGNUUM sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang golf dan pembangunan sumber manusia dalam industri golf.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button