Campus

“Jubah Untuk Aina” angkat nama pelajar SCIMPA, menang Geran FINAS RM25,000

Gambar oleh: Muhammad Shaiful Danial Hishamuddin

SINTOK, 8 Jun 2026: Tiga pelajar Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) melakar pencapaian membanggakan apabila kertas cadangan filem pendek bertajuk Jubah Untuk Aina berjaya terpilih sebagai penerima Geran Reel MADANI@Kampus Bil. 1/2026 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bernilai RM25,000.

Kejayaan yang dilakar oleh pelajar Semester Empat Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif, iaitu Muhammad Asad Ahmad Jusil, Nur Fathin Nabihah Khairul Fahmy dan Dhia Qistina Noorazhari, membuktikan kecemerlangan mahasiswa SCIMPA dalam bidang industri kreatif, khususnya perfileman.

Kejayaan berimpak tinggi ini diterajui di bawah bimbingan dan penyeliaan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) SCIMPA, Dr. Syamsul Hirdi Muhid dan dibantu oleh En. Nassarudin Ab Rasif, Penerbit Rancangan SCIMPA.

Menurut Dekan SCIMPA, Prof. Madya Gc. Dr. Ruzinoor Che Mat, geran yang dimenangi itu memberi peluang berharga kepada pelajar untuk merasai sendiri pengalaman amalan industri sebenar (real industry practices) sepanjang tempoh pengajian mereka.

“Ini merupakan proses pembelajaran di luar bilik kuliah yang sangat membantu pembangunan mahasiswa secara holistik. Dengan adanya peruntukan kewangan sebesar ini, ia memberi ruang kepada pelajar untuk lebih eksploratif dalam berkarya. Pengalaman sebegini amat bernilai dalam membina portfolio profesional mahasiswa,” katanya.

Bagi meraikan kejayaan tersebut, satu sesi penyerahan cek cura (mock cheque) geran berkenaan telah disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, yang turut disaksikan oleh barisan pengurusan SCIMPA serta staf akademik dan pentadbiran yang terlibat dalam projek filem pendek tersebut di Bilik Mesyuarat Kreatif, Pejabat Am SCIMPA.

Kehadiran Naib Canselor mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong pembangunan bakat pelajar, khususnya dalam bidang industri kreatif, pengurusan seni, media dan produksi.

Beliau turut berbesar hati untuk menaungi projek pelajar SCIMPA tersebut serta mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Projek Filem Pendek berkenaan.

Mesyuarat diteruskan dengan sesi pembentangan oleh para pelajar, diikuti perbincangan bersama ahli mesyuarat mengenai pelaksanaan projek tersebut.

Intipati perbincangan turut menyentuh cadangan projek-projek filem pendek pada masa hadapan yang mengetengahkan realiti kehidupan mahasiswa dan nilai kemanusiaan, seperti yang disarankan oleh Naib Canselor.

“SCIMPA perlu dilihat sebagai perintis dalam bidang produksi skrin di UUM. Peluang menghasilkan filem pendek melalui geran ini merupakan satu permulaan yang sangat baik dan perlu terus diperkembangkan menerusi pelbagai usaha dan inisiatif bagi memastikan penghasilan kandungan kreatif seperti ini dapat diteruskan secara konsisten,” katanya. – Pavethran

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button