Khutbah khas perkukuh jiwa pelajar hadapi peperiksaan
Gambar oleh: Sekretariat Sahabat Masjid Sultan Badlishah
SINTOK, 3 Julai – Pusat Islam menganjurkan Khutbah Jumaat Khas bertemakan “Usaha, Doa dan Tawakkal: Kunci Kejayaan” bersempena peperiksaan akhir semester di Masjid Sultan Badlishah dan Masjid Imam As-Syafi’e.
Program yang turut diserikan dengan agihan 500 biji Rotiboy Signature Bun kepada jemaah terawal itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelajar bagi mengimarahkan masjid.

Pengarah Pusat Islam, Haji Mohd Yusnaidi Md Sabri berkata, penganjuran khutbah khas ini bertujuan menyuntik kekuatan rohani kepada para pelajar agar menghadapi peperiksaan dengan penuh keyakinan, di samping menghayati konsep usaha bersungguh-sungguh, doa yang berterusan dan tawakkal kepada Allah SWT.
“Kejayaan bergantung kepada usaha dan kegigihan, disertai doa dan pengharapan kepadaNya. Moga khutbah ini menjadi peringatan dan suntikan semangat kepada para pelajar yang akan menghadapi peperiksaan akhir,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Irfan bin Zahari, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa (Kepujian) menyifatkan inisiatif ini bukan sahaja memberi pengisian rohani, malah turut menceriakan suasana masjid.
“Khutbah hari ini sangat bertepatan dengan musim peperiksaan akhir. Ia mengingatkan kami supaya berusaha sehabis baik, diiringi doa dan bertawakkal. Agihan Rotiboy juga memeriahkan suasana dan menggalakkan kami hadir lebih awal ke masjid,” ujarnya. – Muhammad Kamil bin Yazid



