Kursus asas konsultan perwarisan
Berita dan gambar oleh: Muhammad Nazmi Bin Abdullah Thani
SINTOK, 9 orang pelajar telah menyertai Kursus Sijil Asas Konsultan Pewarisan yang dianjurkan secara bersama oleh Islamic Wealth Management & Professional Training Institute (I-Wealth), Islamic Business School (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan MyPusaka.
Program yang berlangsung di Dewan Seminar B, Pusat Konvensyen UUM ini bertujuan memberi pendedahan asas kepada peserta mengenai bidang perancangan harta dan pewarisan Islam yang semakin mendapat perhatian dalam industri kewangan, hartanah dan pengurusan pusaka.

Kursus ini dikendalikan oleh Tn. Kamarul Azman, Ketua Pegawai Eksekutif MyPusaka, yang berkongsi ilmu berkaitan permasalahan harta dan pusaka, asas faraid, proses tukar milik harta, proses turun milik pusaka serta kaedah pengurusan dan perancangan harta yang berkesan.
Peserta turut didedahkan kepada aplikasi praktikal dalam pengurusan pewarisan bagi membantu mereka memahami prosedur dan cabaran sebenar yang dihadapi oleh masyarakat dalam urusan pembahagian harta pusaka.

Penganjuran kursus ini berjaya meningkatkan pengetahuan dan kompetensi peserta dalam bidang pewarisan serta membuka peluang kerjaya dalam industri berkaitan perancangan harta dan pengurusan pusaka.
Selain memperkukuhkan kefahaman terhadap aspek syariah dan perundangan yang berkaitan, program ini turut mengukuhkan jaringan kerjasama antara pihak universiti dan industri, sekali gus menyokong usaha IBS UUM dalam melahirkan graduan yang berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia memenuhi keperluan industri kewangan Islam serta perancangan harta negara.



