Campus

Lawatan Korporat UUM – Telekom Malaysia: Memperkukuh kerjasama strategik dan penjenamaan INASIS TM

Berita dan gambar oleh: Norlia Othman

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Delegasi INASIS Telekom Malaysia (TM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan korporat ke Menara Telekom Malaysia bagi membincangkan hala tuju kerjasama strategik bersama Yayasan Telekom Malaysia (Yayasan TM) dalam usaha memperkasa pembangunan bakat mahasiswa serta memperkukuh hubungan antara universiti dan industri.

Delegasi INASIS TM diketuai oleh Pengetua INASIS TM, Dr. Nik Fatinah N. Mohd Farid, bersama Wakil Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD), En. Sukri Othman, Penolong Pengetua dan staf INASIS TM serta Presiden Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPSRS/KB) Sesi 2025/2026, Nur Fatin Adila Aziz.

Ketibaan delegasi disambut oleh Chief Human Capital Officer iaitu En. Khaidir Elias, Pengarah Yayasan TM, Pn. Ainul Shaharina Sahar, Pengurus daripada CEO Office TM En. Hazman Mohd Nasir yang juga alumni UUM serta beberapa wakil Yayasan TM.

Dalam ucapannya, Dr. Nik memperkenalkan latar belakang INASIS TM sebagai kolej kediaman yang bukan sahaja menyediakan kemudahan penginapan kepada mahasiswa, malah berperanan sebagai platform pembangunan kepimpinan, pembentukan sahsiah serta peningkatan kebolehpasaran graduan.

Beliau turut berkongsi sejarah kerjasama antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Telekom Malaysia (TM) yang terjalin sejak tahun 1995, sekali gus menjadi asas kepada hubungan strategik yang terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif dan program kerjasama demi manfaat kedua-dua pihak.

Antara fokus utama lawatan korporat ini adalah memperkukuh kerjasama strategik antara UUM dan Yayasan TM melalui pembangunan ekosistem pembelajaran yang lebih holistik di INASIS TM.

Kedua-dua pihak membincangkan usaha menjadikan INASIS TM sebagai platform strategik yang menghubungkan mahasiswa dengan industri melalui pelaksanaan program pembangunan bakat, perkongsian kepakaran, penyelidikan, inovasi serta pembangunan akademik secara berterusan.

Perbincangan turut memberi penekanan kepada usaha memperkasakan penjenamaan bersama antara UUM dan TM melalui pelaksanaan program berimpak tinggi, lawatan industri, mobiliti pelajar, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta aktiviti pembangunan komuniti.

Selain itu, Yayasan TM turut melihat potensi pelaburan dalam penambahbaikan fasiliti berasaskan teknologi di INASIS TM bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan menyokong keperluan pendidikan masa kini.

“En. Khaidir turut mencadangkan agar INASIS TM tidak hanya berfungsi sebagai kolej kediaman, malah menjadi platform utama hubungan strategik antara Telekom Malaysia dan universiti. Pendekatan ini mampu mewujudkan ekosistem pembangunan bakat yang lebih menyeluruh serta membolehkan mahasiswa mendapat pendedahan awal kepada dunia industri melalui pelbagai program bersama TM,” katanya.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan peluang memperkukuh pembangunan kerjaya mahasiswa melalui penyediaan laluan kerjaya yang lebih jelas, penempatan latihan industri, Program Protégé, program mentor, perkongsian kepakaran profesional serta pembangunan modul pembelajaran yang selari dengan keperluan industri.

Turut dibincangkan ialah potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan dan inovasi, pembangunan kurikulum, pembentangan hasil penyelidikan serta pelaksanaan projek bersama yang mampu memberi nilai tambah kepada universiti dan industri. Pada masa sama, kedua-dua pihak turut meneliti beberapa cabaran pentadbiran yang boleh diperhalusi bagi memastikan pelaksanaan kerjasama yang lebih lancar pada masa hadapan.

Lawatan korporat ini turut membuka ruang kepada perbincangan mengenai peluang pelaksanaan pelbagai program baharu seperti program kesedaran bersama agensi luar, pembangunan kepimpinan mahasiswa, aktiviti kelab pelajar, program komuniti, biasiswa, program sukan dan inisiatif lain yang memberi manfaat kepada mahasiswa serta masyarakat.

Secara keseluruhannya, lawatan korporat ini mencerminkan komitmen berterusan Universiti Utara Malaysia dan Yayasan Telekom Malaysia dalam memperkukuh hubungan strategik yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Kerjasama yang dirancang diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan Telekom Malaysia, sekali gus memperluaskan peluang pembangunan bakat, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta melahirkan modal insan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi keperluan industri digital negara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button