Campus

Mahasiswa Teknologi Media UUM angkat isu kepimpinan, ketagihan digital dan pengaruh podcast di OSEM 2026

Berita dan gambar oleh: Siti Syamsul Nurin Mohmad Yazam

SINTOK, 9 Jun 2026 – Mahasiswa Program Teknologi Media, Universiti Utara Malaysia (UUM) membuktikan keupayaan mereka mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran teknologi media dalam meneroka isu-isu semasa masyarakat menerusi pembentangan penyelidikan dan produksi video dokumentari pada Seminar on Media Studies 2026 (OSEM 2026).

Seminar yang berlangsung di Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) itu menghimpunkan pelajar, pensyarah UUM dan jemputan daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), pemain industri serta alumni bagi menilai dan berkongsi hasil penyelidikan serta karya media yang dihasilkan oleh mahasiswa tahun akhir Program Teknologi Media.

Antara projek yang mendapat perhatian ialah video dokumentari “PALAPES: Mengharungi Latihan, Membina Pemimpin” hasil karya Muhammad Amin Jasni di bawah penyeliaan Dr. Siti Aishah Chu Abdullah. Video dokumentari tersebut mengetengahkan peranan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dalam membentuk mahasiswa yang berdisiplin, berdaya tahan dan memiliki ciri-ciri kepimpinan yang tinggi.

Menurut Muhammad Amin, idea menghasilkan video dokumentari tersebut tercetus daripada keinginannya untuk menampilkan sisi sebenar kehidupan anggota PALAPES yang sering disalah tafsirkan oleh masyarakat.

“Ramai yang melihat PALAPES hanya sebagai latihan ketenteraan, sedangkan program ini sebenarnya membentuk disiplin, ketahanan diri dan kemahiran kepimpinan yang sangat berguna kepada mahasiswa. Saya berharap video dokumentari ini dapat memberi pemahaman yang lebih jelas mengenai peranan PALAPES dalam melahirkan pemimpin masa depan negara,” katanya.

Melalui rakaman suasana latihan serta perkongsian pengalaman kadet dan pegawai PALAPES, video dokumentari berkenaan memaparkan bagaimana latihan ketenteraan mampu melahirkan pemimpin muda yang berintegriti dan berwibawa. Karya tersebut turut memberi perspektif baharu terhadap sumbangan PALAPES dalam pembangunan modal insan serta pembentukan jati diri generasi muda.

Turut mencuri perhatian ialah video dokumentari “Bermain Hingga Dunia Pudar: Kajian Kualitatif Ketagihan Permainan Digital” yang dibentangkan oleh Putera Amir Danish Zairul Asmadi di bawah penyeliaan Dr. Syazwani Mahsal Khan. Dokumentari tersebut mengupas isu ketagihan permainan digital dalam kalangan mahasiswa melalui pengalaman sebenar pelajar yang berhadapan dengan penggunaan permainan digital secara berlebihan.

Karya berkenaan menyoroti bagaimana ketagihan permainan digital boleh mempengaruhi kesejahteraan emosi, hubungan sosial serta pencapaian akademik pelajar universiti. Pendekatan dokumentari yang berasaskan pengalaman hidup sebenar menjadikan isu tersebut lebih dekat dengan masyarakat, sekaligus meningkatkan kesedaran tentang cabaran yang dihadapi generasi muda dalam era digital.

Dalam kategori penyelidikan pula, kajian bertajuk “The Role of Podcasts in Shaping Public Opinions: A Qualitative Inquiry Using the Technology Acceptance Model Among Malaysian Youths” oleh Kirtisha a/p Olaga Shanker di bawah penyeliaan Prof. Madya Dr. Sabrina Mohd Rashid memberi tumpuan kepada pengaruh podcast sebagai medium komunikasi baharu dalam membentuk pendapat awam dalam kalangan belia Malaysia.

Hasil kajian tersebut mendapati bahawa podcast semakin diterima sebagai platform penting untuk mendapatkan maklumat, memahami isu semasa dan membentuk pandangan terhadap pelbagai perkara yang berlaku dalam masyarakat. Dapatan itu mencerminkan perubahan landskap media digital yang menyaksikan generasi muda semakin bergantung kepada platform media alternatif sebagai sumber maklumat dan rujukan.

Ketua Civic Media Research Unit (CMRU), Prof. Madya Dr. Norsiah Abdul Hamid berkata, OSEM 2026 menyediakan platform penting untuk mahasiswa menampilkan hasil penyelidikan dan karya media yang bukan sahaja memenuhi keperluan akademik, malah mempunyai nilai kepada masyarakat.

“Mahasiswa Teknologi Media hari ini bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi berupaya menjadi penyelidik, pencerita dan pencipta kandungan yang mampu mengangkat isu-isu semasa melalui pendekatan media yang kreatif dan berimpak,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran OSEM 2026 selaras dengan tema “Shaping Human Stories Through Media Technology” yang menekankan peranan teknologi media dalam merakam, mentafsir dan menyampaikan pengalaman manusia kepada khalayak yang lebih luas.

OSEM 2026 dianjurkan oleh Civic Media Research Unit (CMRU), SMMTC dengan kerjasama Persatuan Pelajar Teknologi Media (PERMEDIA) dan melibatkan penilaian oleh panel yang terdiri daripada ahli akademik, alumni serta pemain industri media dan komunikasi. Seminar ini turut menjadi platform penting dalam melatih mahasiswa membentangkan hasil penyelidikan dan projek media secara profesional sebelum melangkah ke alam kerjaya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button