Malaysia Economic Policy Lab: Inisiatif baharu SEFB UUM sokong agenda kementerian ekonomi
Berita dan gambar oleh: M. Khairy Mukhtaruddin
KUALA LUMPUR, 2 Julai 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjung hormat serta sesi pembentangan kepada Timbalan Menteri Ekonomi, Yang Berhormat Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah di Parlimen Malaysia.
Delegasi UUM diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri, bersama barisan pengurusan SEFB. Sesi tersebut memberi tumpuan kepada cadangan penubuhan Malaysia Economic Policy Lab sebagai platform strategik bagi memperkukuh penyelidikan, pembangunan dasar serta sokongan kepada agenda Kementerian Ekonomi.

Dalam sesi pembentangan tersebut, SEFB turut mengemukakan cadangan pelaksanaan kohort khas program Sarjana Sains Ekonomi UUM khusus untuk warga kementerian dan agensi di bawah Kementerian Ekonomi sebagai usaha memperkasa pembangunan modal insan dan pembelajaran sepanjang hayat.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Ekonomi menyambut baik cadangan yang dikemukakan dan meminta agar permohonan rasmi dikemukakan bagi tindakan dan pertimbangan lanjut.
Selain itu, Dekan SEFB turut menjemput Timbalan Menteri Ekonomi untuk hadir sebagai Keynote Speaker dalam Economic and Finance Symposium (EFS2027) yang dijangka berlangsung pada April 2027. Jemputan tersebut turut disambut baik oleh beliau.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Ekonomi turut menzahirkan sokongan terhadap keseluruhan inisiatif yang dibentangkan, manakala Dr. Bakti Hasan Basri menyatakan komitmen penuh pengurusan universiti dalam memperkukuh kerjasama strategik antara UUM dan Kementerian Ekonomi.
Lebih bermakna, sesi kunjung hormat ini turut disertai oleh pelajar latihan praktikum SEFB, Cik Avanthithah A/P Ganeson, Sarjana Muda Sains Ekonomi yang berpeluang membentangkan laporan pengalaman latihan industri beliau sepanjang ditempatkan di pejabat Timbalan Menteri Ekonomi, sekali gus memberi nilai tambah kepada pendedahan dunia sebenar sektor awam dan dasar negara.



