Campus

Misi Anak Sihat: Mahasiswa UUM didik kanak-kanak amalkan gaya hidup sihat

Berita dan gambar oleh: Nurul Hidayah Muhammad Sabri

CHANGLUN, 19 Mei 2026: Program Hari Kesihatan dan Kebersihan Kanak-Kanak: Misi Anak Sihat telah diadakan di Tadika Genius Anakku Maju, Changlun.

Program ini merupakan inisiatif pelajar Kursus SSWPK1033 Pengurusan Kesukarelawanan (Kumpulan B), Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah bimbingan Dr. Tuan Muhammad Zukri Tuan Sembok.

Program tersebut melibatkan seramai 15 orang mahasiswa yang bertindak sebagai fasilitator dan sukarelawan sepanjang pelaksanaannya.

Penganjuran program ini memberi fokus kepada usaha meningkatkan kesedaran kanak-kanak terhadap amalan kebersihan diri dan penjagaan kesihatan melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan serta interaktif.

Pelbagai aktiviti seperti senamrobik, permainan pendidikan dan sesi pembelajaran berkaitan kesihatan dan kebersihan telah dijalankan bagi membantu kanak-kanak memahami kepentingan menjaga kebersihan serta mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian.

 

Selain memberi manfaat kepada peserta, program ini turut menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk mengembangkan kemahiran kepimpinan, komunikasi, pengurusan program dan kerja berpasukan melalui pengalaman pembelajaran berasaskan komuniti.

Penglibatan secara langsung bersama masyarakat juga membantu memupuk nilai keprihatinan, tanggungjawab sosial dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.

Penyebaran berita ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan dan kebersihan sejak usia kanak-kanak, di samping menggalakkan budaya kesukarelawanan serta kerjasama antara universiti dan komuniti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button