Berita dan gambar oleh: Siti Syamsul Nurin Mohmad Yazam
SINTOK, 9 Jun 2026 – Seminar on Media Studies 2026 (OSEM 2026) berjaya menghimpunkan akademia, pemain industri, alumni serta mahasiswa dalam satu platform ilmiah yang memperkukuh pembangunan bakat, kreativiti dan inovasi dalam bidang teknologi media negara.
Program anjuran Civic Media Research Unit (CMRU), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Teknologi Media (PERMEDIA) itu berlangsung di kampus UUM Sintok dengan penyertaan puluhan pembentang, penilai industri dan peserta daripada pelbagai latar belakang.

Bertemakan “Shaping Human Stories Through Media Technology”, OSEM 2026 menjadi medan pertemuan antara dunia akademik dan industri bagi membincangkan perkembangan terkini media, teknologi serta cabaran masyarakat digital.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, seminar tersebut menyediakan ruang yang signifikan untuk perkongsian ilmu, pertukaran idea dan pembangunan jaringan profesional antara mahasiswa, penyelidik serta pengamal industri media.

Beliau yang turut menyampaikan ucaptama bertajuk “Shaping Human Stories Through Media Technology: Malaysia’s Perspective” berkata, penglibatan aktif pemain industri dan alumni dalam proses penilaian pembentangan memberikan nilai tambah kepada pembangunan kompetensi mahasiswa, khususnya dalam aspek media digital dan kesediaan menghadapi dunia pekerjaan yang semakin mencabar.
Sebanyak 62 kertas kerja dan projek media dibentangkan melalui sesi selari yang merangkumi pelbagai bidang kajian seperti media sosial, podcast, dokumentari, komunikasi digital, kecerdasan buatan, psikologi media dan tingkah laku pengguna media.

Selain sesi pembentangan akademik, OSEM 2026 turut menganjurkan Pameran Produk Fotomedia yang melibatkan 32 kumpulan pelajar. Pameran tersebut menampilkan pelbagai hasil karya fotografi yang mengetengahkan kreativiti, kemahiran teknikal serta keupayaan mahasiswa dalam menyampaikan naratif visual melalui medium foto.
Seminar ini turut mendapat sokongan dan penglibatan aktif tokoh industri media negara, antaranya Presiden Persatuan Dokumentari Nusantara Malaysia (DOCMAL), Mohammad Zaki Abdul Rahim, yang berpengalaman luas dalam bidang penyiaran, kewartawanan televisyen dan penerbitan dokumentari. Kehadiran beliau bersama pemain industri lain memberikan pendedahan serta perspektif profesional yang bernilai kepada para mahasiswa.
Ketua CMRU, Prof. Madya Dr. Norsiah Abdul Hamid berkata, OSEM bukan sekadar platform pembentangan akademik, malah menjadi ruang latihan profesional yang membantu mahasiswa meningkatkan kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah dan penghasilan penerbitan ilmiah berkualiti.
Beliau berkata, semua kertas kerja yang dibentangkan melalui proses penilaian oleh panel dalam dan luar UUM, terdiri daripada ahli akademik, alumni dan pakar industri, termasuk dari Thailand, China dan Syria, bagi memastikan standard akademik yang tinggi serta memberi maklum balas konstruktif kepada pelajar.

Pengarah OSEM 2026, Megat Muhammad Nafis Mohamad Fazillah berkata, penganjuran seminar tersebut bukan sahaja menjadi platform akademik untuk mahasiswa Sarjana Muda Teknologi Media membentangkan hasil penyelidikan dan projek media mereka, malah memberi peluang kepada pelajar membina keyakinan diri, memperluas jaringan profesional serta memperoleh pengalaman sebenar berinteraksi dengan ahli akademik dan pengamal industri.
Menurut beliau, pengalaman menguruskan program berskala besar seperti OSEM turut membentuk kemahiran kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan dan pengurusan projek dalam kalangan mahasiswa, sekali gus menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran dunia kerjaya yang semakin dinamik.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2019, OSEM telah berkembang menjadi platform akademik yang konsisten dalam melahirkan penerbitan prosiding dan artikel jurnal, termasuk penerbitan dalam jurnal berindeks MyCite.
Penganjuran OSEM 2026 turut mencerminkan komitmen UUM dalam memperkukuh hubungan universiti-industri-alumni serta melahirkan graduan yang mampu menerajui transformasi media digital dan ekonomi kreatif negara.



