Pembentangan projek akademik menjadi tumpuan STML Green Carnival 2026
Gambar oleh: Muhammad Zulkarnain Fahmi Che Sarudin
SINTOK, 23 Jun 2026 – Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah berjaya menganjurkan Pembentangan Projek Akademik sempena STML Green Carnival 2026, yang menjadi platform kepada pelajar tahun akhir untuk membentangkan hasil penyelidikan dan inovasi mereka kepada panel penilai.
Menurut Prof Madya Ts Dr Nurul Azita Salleh selaku Pengarah Program Green Carnival, Pembentangan Projek Tahun Akhir (FYP) STML 2026 ini melibatkan seramai 203 orang pelajar, terdiri daripada 109 pelajar Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (MOT), 84 pelajar Sarjana Muda Pengurusan Operasi (POM) dan 10 pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan) (LOG).
Kesemua pelajar membentangkan hasil penyelidikan yang merangkumi bidang pengurusan teknologi, pengurusan operasi, logistik, pengangkutan, kelestarian dan disiplin berkaitan.

Dalam aspek penilaian, para penilai menggunakan borang rubrik standard yang disediakan oleh jawatankuasa penganjur bagi memastikan ketelusan dan keseragaman dalam proses pemarkahan.
Panel penilai terdiri daripada 57 orang pensyarah STML serta 8 penilai luar yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah daripada pusat pengajian SOIS, SBM dan SOG telah dilantik dan ini sekaligus meningkatkan kredibiliti dan objektiviti proses penilaian, kata Prof Madya Dr Noor Hidayah Abu selaku Ketua Unit Pembentangan Green Carnival serta Dr Nurul Rezuana Buyung.
Setelah tamat sesi pembentangan, tiga panel penilai luar yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah dari pusat pengajian SBM, SQS dan SMMTC telah dilantik untuk menilai dan memilih pembentang terbaik berdasarkan markah tertinggi dengan merujuk kepada rubrik dan slaid pembentangan yang telah dibentangkan.

Hasil daripada proses penilaian yang teliti, seramai 13 orang pelajar telah dinobatkan sebagai Pembentang Terbaik STML Green Carnival 2026 dan menerima anugerah bersama penyelia masing-masing sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik dan hasil penyelidikan mereka semasa majlis penutup Green Carnival 2026.
Secara keseluruhannya, STML Green Carnival 2026 berjaya mencapai objektifnya dalam mengintegrasikan kecemerlangan akademik dengan kesedaran terhadap kelestarian dan inovasi digital.
Program ini bukan sahaja menjadi platform untuk pelajar mempamerkan hasil penyelidikan dan inovasi mereka, malah memperkukuh jaringan kerjasama antara akademia, industri dan komuniti, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan STML dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan menyumbang ke arah pembangunan masa depan yang lebih lestari. – Loo Pak Heng



