Pengurusan TVET UUM buat sesi perkongsian masa depan kerjaya TVET bersama komuniti pelajar sekolah di Victoria Institution
Berita dan gambar oleh Prof. Madya Ts. Dr. Hj. Shanusi Bin Hj. Ahmad
UUMKL, 25 Jun 2026 – Dalam usaha memperkasa pembangunan modal insan berteraskan bidang TVET, Pengarah Pengurusan TVET UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Hj. Shanusi bin Hj. Ahmad telah memenuhi jemputan dari Sekolah Menengah Victoria Institution, Kuala Lumpur membuat sesi perkongsian bertajuk “Laluan TVET” sempena minggu TVET dan STEM peringkat sekolah tahun 2026.
Perkongsian melibatkan lebih 300 orang murid tingkatan lima tersebut menjadi platform pendedahan yang memfokuskan kepada pembangunan modal insan dalam bidang TVET khususnya dalam menghadapi perubahan landskap pekerjaan dan keperluan kemahiran masa hadapan.

Perkongsian turut mendedahkan potensi yang sangat baik dalam bidang TVET, sekali gus melahirkan tenaga kerja yang kompeten, berdaya saing dan memenuhi tuntutan industri serta masyarakat.
Perkongsian ini turut memberi garis panduan kepada para pelajar yang bakal menduduki Sijil pelajaran Malaysia tentang peluang yang ada dalam “laluan TVET” yang disediakan oleh kerajaan. Peluang ini turut memberi biasiswa dan pengajian kepada mereka yang minat dan cenderung kepada aliran TVET ini.
Sesi perkongsian ini adalah salah satu bentuk kerjasama yang disasarkan oleh Pengurusan TVET UUM demi memahamkan masyarakat tentang laluan TVET yang bukan lagi laluan kedua.

Pengarah Pengurusan TVET menegaskan, program komuniti seperti ini melambangkan integrasi kepakaran Pengurusan TVET UUM bersama-sama dengan nilai teras kemahiran melibatkan pihak komuniti sekolah melalui pemerkasaan TVET yang akan melibatkan masa depan para pelajar.
Pihak Pengetua Victoria Institution , Abd Samad Bin Othman menjemput pihak Pengurusan TVET UUM ini bagi menzahirkan keyakinan penuh terhadap keupayaan Pengurusan TVET UUM dalam memberi penerangan yang jelas kepada semua murid bagi merealisasikan agenda dan Dasar TVET Negara.



