Pensyarah IBS timba pengalaman berharga hampir tiga minggu di Uzbekistan
Berita dan gambar oleh: Dr. Amirul Faiz Osman
UZBEKISTAN, 20 Mei 2026 – Menabur bakti dan berkongsi kepakaran di luar negara pastinya memberikan kepuasan serta pengalaman yang sukar dilupakan. Itulah yang dialami oleh Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Dr. Amirul Faiz Osman, apabila berpeluang melebarkan sayap akademik menerusi Program Pensyarah Pelawat di Uzbekistan.
Program perkongsian pintar yang diatur oleh Pusat Hal Ehwal Antarabangsa dan Kerjasama (CIAC), Universiti Utara Malaysia (UUM), itu berlangsung selama hampir tiga minggu bermula 3 hingga 20 Mei 2026.

Dalam program tersebut, beliau turut diiringi oleh dua pensyarah UUM dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) serta Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC).
Sepanjang berada di Uzbekistan, Dr. Amirul berpeluang menimba pelbagai pengalaman baharu apabila ditugaskan berkhidmat di dua institusi pengajian tinggi terkemuka, iaitu selama dua minggu di Tashkent International University of Financial Management and Technologies (TIFT) dari 3 hingga 16 Mei, sebelum meneruskan tugasan selama seminggu di Navoi State University (NSU) sehingga 20 Mei.
Antara pengalaman paling bermakna bagi beliau ialah sambutan dan penerimaan positif pelajar terhadap ilmu yang dikongsikan. Ditugaskan mengajar pelajar ijazah sarjana muda dari Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perakaunan bagi kursus Islamic Financial System: Principles and Operations, beliau kagum melihat komitmen serta minat mendalam yang ditunjukkan oleh mahasiswa di TIFT.

Menurutnya, ramai pelajar menyatakan hasrat untuk mendalami bidang kewangan Islam dan berharap dapat mengikuti lebih banyak program berkaitan pada masa hadapan.
Pengalaman berharga itu tidak terhad di dalam bilik kuliah sahaja. Kepakaran beliau dalam bidang muamalat turut mendapat perhatian pihak industri apabila dijemput sebagai penceramah jemputan di dua institusi perbankan utama Uzbekistan, iaitu SQB Bank dan BRB Bank.
Platform tersebut memberi peluang kepada beliau untuk berkongsi ilmu, pengalaman serta amalan terbaik dalam operasi kewangan Islam bersama pengamal industri perbankan antarabangsa.

Selain menjalankan tugas pengajaran, program hampir tiga minggu itu turut membawa misi strategik untuk memperkukuh hubungan akademik antara UUM dan institusi pendidikan tinggi di Uzbekistan.
Pada hari pertama di TIFT, Dr. Amirul mengadakan pertemuan rasmi bersama Rektor TIFT, Azizkhon Nodirov. Perbincangan tersebut membuahkan hasil positif apabila beberapa cadangan kerjasama berimpak tinggi dikenal pasti, antaranya:

• Program dwiijazah (2+2) antara IBS UUM dan Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perakaunan TIFT.
• Program kerjasama pascasiswazah (1+1) melibatkan program Sarjana Kewangan Islam UUM dan Sarjana Kewangan TIFT.
• Penganjuran kursus latihan jangka pendek melalui Sijil Profesional Kewangan dan Perbankan Islam khusus untuk ahli akademik serta pekerja sektor perbankan di Uzbekistan.
Pada minggu terakhir di NSU, usaha memperkukuh jaringan akademik diteruskan menerusi perbincangan bersama pihak pengurusan universiti tersebut. Fokus utama perbincangan adalah kepada pembangunan kerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan akademik, serta mobiliti pertukaran pelajar dan pensyarah antara kedua-dua institusi.
Pengalaman hampir tiga minggu di Asia Tengah itu membuktikan bahawa kepakaran warga akademik UUM terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Program tersebut bukan sahaja memperkaya pengalaman peribadi dan profesional Dr. Amirul, malah menyokong usaha UUM dalam memperkasa pendidikan kewangan Islam serta memperluas jaringan dan pengaruh universiti di peringkat global, khususnya di rantau Asia Tengah.
Sebagai pengiktirafan terhadap kepakaran beliau, Dr. Amirul turut dijemput untuk membentangkan kertas kerja dalam seminar antarabangsa yang dianjurkan oleh TIFT selepas kembali ke Malaysia.



