Campus

Pensyarah UUM lonjak citra universiti, rangkul emas menerusi aplikasi pintar Smart eQIAS

Berita dan Gambar: Pusat Pembelajaran Pengajaran Universiti (UTLC)

KEMAMAN, 23 JUN 2026: Penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya memahat nama di persada inovasi negara apabila produk Smart eQIAS 3.0 berjaya merangkul Pingat Emas dalam Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI2026) yang berlangsung di UCTATI, Kemaman, Terengganu, pada 22-23 Jun 2026.

Kejayaan bermakna ini diraih menerusi impak tinggi produk sebuah aplikasi digital komprehensif yang direka untuk merevolusikan sistem pengurusan, penarafan, dan pemantauan tahap amalan kualiti di taska serta tadika seluruh Malaysia.

Persaingan sengit dalam acara anjuran bersama UCTATI, UMT, dan UniSZA itu melibatkan seramai 386 penyertaan daripada barisan pensyarah Institusi Pengajian Tinggi (IPT), agensi pendidikan, dan sekolah, sekaligus meletakkan inovasi UUM ini sebagai salah satu penemuan paling praktikal dan relevan untuk pasaran semasa.

Prof. Dr. Siti Noor Ismail ketua penyelidik berkata sebagai teras kepada produk ini, Smart eQIAS berfungsi sebagai instrumen digital moden yang menilai dan memastikan premis pendidikan awal kanak-kanak mematuhi standard kualiti yang ditetapkan.

Melalui aplikasi ini, pengusaha taska dan tadika boleh memantau tahap amalan operasi mereka, manakala pihak berkuasa pula dapat melakukan penarafan dengan lebih telus. Ciri ini secara langsung membantu meningkatkan akauntabiliti dan profesionalisme sektor pendidikan awal di Malaysia secara sistematik.

Selain pemantauan kualiti, produk ciptaan pensyarah daripada Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) ini turut dilengkapi dengan fungsi location detector (pengesan lokasi) yang sangat unik untuk kemudahan orang awam.

Ciri navigasi dan penjejakan pintar ini membolehkan ibu bapa mengenal pasti kedudukan taska atau tadika yang berhampiran dengan mereka dengan mudah. Apa yang paling penting, sistem ini membolehkan ibu bapa menyemak secara masa nyata (real-time) sama ada premis terbabit telah berdaftar secara sah dengan pihak berwajib atau sebaliknya demi mengelakkan pengesanan premis haram.

Melonjakkan lagi nilai komersial dan kemanusiaan produk ini, pasukan Prof. Dr. Siti Noor telah menambah baik fungsi Smart eQIAS dengan mengintegrasikan sistem notifikasi keselamatan kecemasan khusus untuk ibu bapa. Sistem pintar ini akan menghantar amaran segera kepada telefon pintar penjaga sekiranya anak mereka dikesan tidak mendaftar masuk atau dihantar ke taska seperti jadual biasa.

Intervensi teknologi ini direka khusus bagi mengatasi tragedi menyayat hati akibat kecuaian luar kawal, seperti ibu bapa yang terlupa dan meninggalkan anak di dalam kereta dalam tempoh lama sehingga mengakibatkan kematian.

Secara keseluruhannya, kejayaan produk Smart eQIAS meraih pingat emas ini menjadi bukti komitmen UUM dalam menghasilkan penyelidikan yang memberi impak langsung kepada masyarakat (social innovation). Dengan adanya integrasi pemantauan kualiti dan perlindungan keselamatan yang holistik ini, produk inovasi Prof. Dr. Siti Noor Ismail ini diyakini mampu menjadi pemangkin utama dalam menjamin kelestarian serta ekosistem amalan kualiti dalam pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button