Campus

Perkongsian tokoh industri perkasa mahasiswa media hadapi dunia kerjaya

Berita dan gambar oleh Dr. Syazwani Mahsal Khan, SMMTC

SINTOK, 9 Jun 2026 – Mahasiswa tahun akhir Program Teknologi Media, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM), berpeluang menimba ilmu serta mendapatkan gambaran sebenar mengenai dunia media kreatif menerusi sesi perkongsian bertajuk Cabaran Kerjaya Dalam Bidang Media Kreatif yang disampaikan oleh Presiden Persatuan Dokumentari Nusantara Malaysia (DocMal), Encik Zaki Haji Abdul Rahim.

Kehadiran Encik Zaki ke kampus Sintok merupakan satu peluang yang amat bermakna buat mahasiswa memandangkan beliau merupakan antara tokoh penyiaran dan dokumentari negara yang mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam industri media.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah menerajui penerbitan program ikonik Majalah 3, mengarahkan siri dokumentari Jejak Rasul, mencetuskan penerbitan Jurnal Alam, selain menghasilkan pelbagai dokumentari yang memenangi Anugerah Skrin TV3 dan pengiktirafan kewartawanan di peringkat kebangsaan.

Pengalaman luas beliau sebagai penerbit, pengarah dokumentari, panel juri profesional, perunding industri serta tenaga pengajar menjadikan sesi perkongsian tersebut amat bernilai kepada bakal graduan media.

Seramai 62 mahasiswa yang mengikuti sesi tersebut didedahkan kepada realiti semasa industri media kreatif, termasuk peluang kerjaya dalam bidang penyiaran dan media, teknologi multimedia, penerbitan filem, animasi, permainan digital, teknologi audio, pemasaran digital serta penulisan kreatif.

Beliau menjelaskan bahawa landskap industri kini berubah dengan pantas berikutan perkembangan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), Realiti Maya (VR) dan Realiti Terimbuh (AR), sekali gus menuntut graduan supaya sentiasa meningkatkan kompetensi dan bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

Menurut beliau lagi, persaingan dalam industri media kreatif kini semakin sengit dengan kemunculan ramai pencipta kandungan digital di pelbagai platform media sosial.

Oleh itu, graduan bukan sahaja perlu menguasai kemahiran teknikal, malah perlu memiliki kreativiti, pemikiran kritis dan keupayaan menghasilkan kandungan yang berkualiti bagi meningkatkan daya saing dalam pasaran pekerjaan.

Beliau turut berkongsi pengalaman sebenar sebagai pengamal industri mengenai pelbagai cabaran yang sering dihadapi, termasuk ketidakstabilan pendapatan, tekanan memenuhi tarikh akhir projek, keletihan mental akibat tuntutan kreativiti yang berterusan, serta kepentingan melindungi hak cipta dan harta intelek dalam era digital.

Dalam masa yang sama, beliau menekankan bahawa kejayaan dalam bidang media tidak hanya bergantung kepada bakat, sebaliknya memerlukan pembelajaran sepanjang hayat, penguasaan teknologi baharu dan pegangan etika profesional yang tinggi dalam setiap kandungan yang dihasilkan.

Sesi tersebut turut memberi peluang kepada mahasiswa berinteraksi secara langsung dengan Encik Zaki menerusi sesi soal jawab berkaitan persediaan memasuki alam pekerjaan, kemahiran yang dicari oleh majikan, pembangunan portfolio profesional serta strategi membina kerjaya yang mampan dalam industri media kreatif.

Pengalaman beliau yang pernah berkhidmat di RTM dan TV3 serta terlibat sebagai panel penilai, juri profesional dan penasihat industri memberikan perspektif yang autentik mengenai kehendak sebenar industri media masa kini.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen SMMTC dalam merapatkan hubungan antara akademia dan industri melalui penglibatan pengamal profesional yang berwibawa.

Perkongsian daripada Encik Zaki diharapkan dapat meningkatkan keyakinan, motivasi dan kesiapsiagaan mahasiswa Program Teknologi Media untuk melangkah ke alam pekerjaan sebagai graduan yang kompeten, beretika dan mampu memenuhi keperluan industri media kreatif yang sentiasa berkembang.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button