Program penanaman 2.2 juta pokok perkukuh agenda University Social Responsibility (USR) PKKPK
Gambar oleh: Mohd Shakirin Che Harmidi
LANGKAWI, 16 Julai 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan (PKKPK) terus memperkukuh komitmennya terhadap agenda University Social Responsibility (USR) menerusi penganjuran bersama Program Penanaman 2.2 Juta Pokok di Negeri Kedah di Taman CHOGM, Kuah, Langkawi dengan kerjasama Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP).
Program ini mencerminkan tanggungjawab sosial UUM dalam menyokong kelestarian alam sekitar, memperkukuh kerjasama strategik bersama pihak berkuasa tempatan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan MPLBP, Puan Anis Sallihah Zabudin, sebelum disusuli ucapan perasmian oleh Pengarah PKKPK, Prof. Madya Dr. Muhamad Dzahir Kasa, yang menegaskan bahawa kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dan pihak berkuasa tempatan merupakan platform penting dalam memperluaskan impak USR serta menyokong agenda pembangunan mampan negara.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan dan Landskap MPLBP, TPr. Cik Siti Aisyah Mohd Taib, bersama kakitangan MPLBP dan UUM.

Kemuncak program menyaksikan simbolik penanaman 12 batang pokok Tabebuia rosea (pokok Tecoma) di sekitar Taman CHOGM sebagai sebahagian daripada inisiatif Program Penanaman 2.2 Juta Pokok di Negeri Kedah.
Pokok berbunga ini dipilih bagi memperindah landskap taman, meningkatkan kawasan hijau serta menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar.
Melalui program ini, PKKPK terus memperkukuh peranannya dalam melaksanakan aktiviti USR yang memberi manfaat kepada komuniti dan alam sekitar, di samping menyokong usaha meningkatkan biodiversiti, penyerapan karbon, serta memupuk budaya pemeliharaan alam sekitar selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SD khususnya SDG 11 (Sustainable Cities and Communities), SDG 13 (Climate Action), SDG 15 (Life on Land) serta memperkukuh agenda USR melalui kolaborasi strategik yang memberikan manfaat berterusan kepada komuniti, alam sekitar dan negara. – Nur Amirah binti Zakaria



