Gambar oleh: Syakir Amirul Bin Nadzeri dan Muhammad Amir Iqbal Abdul Halim
KOTA BHARU, 20 Jun 2026 – Program Traditional Fun Walk 3KM 2026 anjuran para pelajar Kohort Dua dan Tiga, Diploma Pendidikan Pascasiswazah (PGDE), Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Kampus Kota Bharu telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan, Kampus Kota Bharu, Kelantan, hari ini.
Program yang menghimpunkan hampir 200 orang peserta terdiri daripada pelajar PGDE, alumni UUM serta ahli masyarakat sekitar Kota Bharu dari pelbagai peringkat umur, agama dan bangsa.
Program ini menjadi platform dalam mengintegrasikan amalan gaya hidup sihat di samping memperkasakan warisan budaya. Menariknya, program ini memperlihatkan pemakaian pelbagai busana tradisional dan di setiap check point, para peserta dihidangkan dengan kuih-muih tradisional Kelantan.
Selain itu, program ini turut menjadi medium kepada pelajar PGDE mengaplikasikan kemahiran kepimpinan, pengurusan organisasi, komunikasi dan kerja berpasukan yang dipelajari dalam kursus Co-Curriculum Management (SGDU4162).

Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Haji Othman, Dekan Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa pelaksana atas dedikasi dan komitmen yang tinggi dalam memastikan kelancaran program.
Beliau turut menegaskan bahawa program seperti ini bukan sekadar aktiviti riadah, malah boleh membentuk bakal pendidik yang mempunyai jati diri yang tinggi, keseimbangan dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek malah memberi impak yang positif kepada ahli masyarakat. Beliau turut berharap agar pengalaman yang diperoleh sepanjang penganjuran program ini dapat dimanfaatkan oleh para pelajar bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik kelak.

Program dimulakan seawal pagi dengan sesi pendaftaran peserta sebelum diteruskan dengan aktiviti memanaskan badan iaitu senamrobik. Seterusnya, para peserta memulakan perjalanan Traditional Fun Walk sejauh 3 kilometer mengikut laluan yang telah ditetapkan dengan aspek keselamatan diawasi oleh pihak polis trafik. Bagi memberikan pengalaman yang lebih menarik, tiga check point bertemakan makanan tradisional Kelantan telah disediakan sepanjang laluan.
Di Check point 1, peserta singgah di Dapo Kelate dan menikmati kuih tradisional Akok, manakala Check point 2 yang bertemakan Manisan Tradisi menyajikan kuih Ulat Bulu, sekali gus memperkenalkan kepelbagaian juadah tradisional negeri Kelantan kepada para peserta.

Setibanya di Checkpoint 3 yang juga merupakan garisan penamat, setiap peserta menerima medal penamat (finisher medal) sebagai simbol penghargaan atas penyertaan dan semangat kesukanan yang ditunjukkan sepanjang program. Bagi melengkapkan pengalaman budaya, para peserta kemudiannya menikmati hidangan Nasi Kerabu bersama minuman tradisional masyarakat Kelantan, Teh Beng, dalam suasana penuh mesra dan harmoni.
Majlis diteruskan dengan sesi kuiz interaktif yang menguji pengetahuan peserta yang berlangsung dalam suasana ceria dan penuh kemeriahan. Para peserta berpeluang memenanginya, di samping hadiah iringan bagi Anugerah khas, iaitu Busana Tradisional Terbaik, Peserta Paling Bersemangat, Peserta Cilik, dan Peserta Paling Sporting.

Penyampaian anugerah ini bukan sahaja sebagai penghargaan kepada para peserta, malah turut menyemarakkan semangat kesukanan, kreativiti dan penghayatan terhadap budaya tradisional sepanjang program berlangsung.
Selain mempromosikan gaya hidup sihat, program ini turut berjaya memperkukuhkan hubungan silaturahim antara pelajar PGDE, alumni dan warga universiti. Penglibatan aktif setiap jawatankuasa dalam aspek pengurusan peserta, keselamatan, logistik, dokumentasi serta penyelarasan check point membuktikan kemampuan pelajar menguruskan program secara sistematik, profesional dan berkesan.
Para peserta keseluruhannya memberikan maklum balas yang sangat memuaskan dan mengharapkan agar program ini dapat diteruskan pada masa hadapan. Penganjuran program ini juga menjadi bukti kecemerlangan dan pembangunan profesionalisme bakal pendidik yang mengikuti program PGDE di Universiti Utara Malaysia.



