QRC2026 Angkat ‘Big Qual’ sebagai Pemangkin Penyelidikan Kualitatif Transformasional dan Berimpak dalam Era AI
Berita dan gambar oleh: Dr. Saidatul Nurul Hidayah Jannatun Naim Nor Ahmad
SINTOK, 5 Ogos – Ketika dunia akademik semakin dipengaruhi oleh kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) dan ledakan data berskala besar, The 7th International Qualitative Research Conference (QRC 2026) tampil dengan satu mesej yang jelas: teknologi bukan matlamat akhir, sebaliknya pemangkin ke arah penyelidikan yang lebih bermakna, reflektif dan berimpak kepada masyarakat.
Bertemakan The Rise of Big Qual: Capitalizing Data for Impact, persidangan anjuran Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Institut Kajian Strategik dan Perakaunan Mampan (ISSAD) ini menekankan bahawa masa depan penyelidikan kualitatif bukan terletak pada mempercepatkan proses analisis dengan AI semata-mata, tetapi bagaimana data yang semakin besar dan kompleks dapat diterjemahkan kepada tindakan, perubahan dasar, inovasi serta penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Majlis perasmian QRC2026 disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd Ali, yang dalam ucapannya menegaskan komitmen universiti dalam memperkasakan penyelidikan kualitatif sebagai teras kepada penjanaan ilmu yang berimpak kepada masyarakat.
Beliau turut menyeru para penyelidik supaya terus berinovasi dalam pendekatan penyelidikan, selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan penyelidikan yang relevan dan responsif terhadap cabaran semasa.
Persidangan tahun ini, yang berlangsung di Hotel EDC pada 3–5 Ogos 2026, berjaya menghimpunkan 33 pembentang kertas kerja dari Indonesia, China, Nigeria dan seluruh Malaysia, merentasi pelbagai disiplin penyelidikan dan memperkayakan wacana ilmiah rentas bidang.

Bagi memperkukuh kompetensi penyelidik, QRC2026 turut menganjurkan bengkel metodologi yang disertai oleh 23 orang peserta. Bengkel ini dikendalikan oleh Prof. Dr. Maryati Mohd Yusof dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Prof. Madya Dr. Wan Norhayati Wan Ahmad dari Universiti Utara Malaysia (UUM), yang berkongsi amalan terbaik dalam merangka dan melaksanakan penyelidikan kualitatif berkualiti tinggi.
QRC2026 turut menampilkan dua tokoh penyelidikan antarabangsa sebagai penceramah utama, iaitu Prof. Dr. Siti Roshaidai Mohd Arifin dari International Islamic University Malaysia (IIUM) dan Prof. Dr. Melanie Nind dari University of Southampton, United Kingdom, yang masing-masing membincangkan cabaran dan hala tuju penyelidikan kualitatif dalam landskap penyelidikan global yang semakin dipengaruhi oleh AI.

Dalam ucaptama bertajuk Leading Transformation and Impact Through Qualitative Research, Prof. Dr. Siti Roshaidai menegaskan bahawa kejayaan penyelidikan kualitatif tidak lagi boleh diukur berdasarkan jumlah penerbitan atau sitasi semata-mata, sebaliknya perlu berkembang daripada menghasilkan pengetahuan kepada mencetuskan perubahan dalam amalan, organisasi, dasar dan kehidupan masyarakat.
Melalui kerangka Transformational Continuum, beliau menggariskan perjalanan penyelidik daripada memahami pengalaman manusia sehingga menjadi pemimpin yang memacu perubahan sistemik.
Melengkapkan mesej tersebut, Prof. Melanie Nind mengingatkan bahawa walaupun AI menawarkan kelebihan dari segi kelajuan pemprosesan data, penyelidik kualitatif tidak seharusnya mengorbankan refleksiviti, pertimbangan etika dan pemahaman mendalam terhadap pengalaman manusia.

Perubahan landskap penyelidikan, menurut beliau, bukan alasan untuk mengubah asas penyelidikan kualitatif, sebaliknya peluang untuk menghargai semula kekuatan pendekatan tersebut. Beliau mengakhiri syarahannya dengan mesej yang jelas: “Beware rapid quals! And long live care-full practices!”
Dalam ucapan penutup, Pengerusi Persidangan, Prof. Dr. Natrah Saad, menegaskan bahawa penyelidikan kualitatif kini bukan lagi sekadar “a quiet corner of the academy”, sebaliknya telah muncul sebagai daya penggerak yang mampu membentuk keputusan, dasar dan amalan pada skala yang lebih besar.
Selari dengan tema The Rise of Big Qual: Capitalizing Data for Impact, QRC 2026 mengangkat satu aspirasi penting bahawa AI tidak seharusnya menggantikan kebijaksanaan penyelidik, sebaliknya memperkukuh keupayaan mereka menghasilkan penyelidikan yang lebih mendalam, reflektif dan berupaya menterjemahkan data kepada tindakan yang memberi impak kepada masyarakat.


