Rancakkan aktiviti koperasi perladangan, pertanian dan industri asas tani
PENDANG, 20 Oktober – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Negeri Kedah berusaha untuk merancakkan koperasi dalam sektor perladangan, pertanian, dan industri asas tani melalui kerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan kapasiti dan keberkesanan koperasi di negeri tersebut.
Pengerusi ANGKASA Negeri Kedah, Wan Ibrahim Wan Jusoh menekankan bahawa terdapat 1003 koperasi di negeri Kedah, 80 peratus daripadanya berdaftar dengan ANGKASA.
“Koperasi yang aktif dalam aktiviti keusahawanan terlibat dalam pelbagai jenis aktiviti antaranya dalam aspek pertanian dan perladangan, industri asas tani, perdagangan dan pemasaran, pendidikan dan latihan, pengeluaran kraftangan, perkhidmatan sosial serta pelancongan.
“Setakat ini terdapat beberapa projek yang dalam pelaksanaan membabitkan kerjasama ANGKASA pusat di negeri Kedah antaranya projek fertigasi cili intergrasi penternakan dan perdagangan daging lembu korban serta penanaman cendawan tiram kelabu.
“Semua projek ini memerlukan intervensi dan kerjasama oleh tenaga pakar di UUM bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan untuk mencapai objektif yang ditetapkan. Selain itu juga, ANGKASA Negeri Kedah membuka peluang bagi pihak UUM untuk bantu memajukan premis Angkasa Mart yang terletak di Pendang,” ujarnya, baru-baru ini.
Delegasi UUM yang diketuai oleh Pengarah Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan menyambut baik hasrat dan cadangan yang diutarakan.
“CEDI bersedia memberi komitmen untuk menggerakkan tenaga pakar dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) dan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) untuk membantu merancakkan aktiviti usahawan khususnya yang beroperasi di premis Angkasa Mart Pendang.
“Dalam konteks ini, pihak CEDI mampu menyediakan program latihan dan pembangunan kepada pihak koperasi khususnya bagi yang berpengkalan di zon utara tanah air. Tambahan juga, CEDI bersedia untuk membantu pihak ANGKASA dalam konteks penyelidikan dan kajian kes bagi isu-isu yang dihadapi,” katanya.