Campus

Sesi kunjungan industri ECOFI perkukuh jalinan kolaborasi strategik rentas agensi

Berita dan gambar oleh: Nur Hafizah Mohammad Ismail

PUTRAJAYA: 24 – 26 Jun 2026: Economic & Financial Policy Institute (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) dengan kerjasama Akademi Profesor Malaysia (APM) telah mengadakan beberapa sesi kunjungan industri pada 24-26 Jun 2026 di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Sesi kunjungan ini telah diketuai bersama oleh Pengarah ECOFI, Prof. Madya Dr. Shamzaeffa Samsudin dan wakil APM, Prof. Dr. Russayani Ismail, bersama felo penyelidik yang terdiri daripada Prof. Dr. Mukaramah Harun, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan dan Prof. Madya Dr. Nur Hafizah Mohammad Ismail.

Kunjungan ini memberi tumpuan kepada perbincangan berkaitan agenda strategik negara merangkumi pembangunan belia dan peranan pekerja sosial, ekonomi penjagaan (care economy) serta ekonomi perak/warga emas (silver economy), selaras dengan keperluan semasa dalam memperkukuh kesejahteraan sosial dan ekonomi negara sebagai persediaan Malaysia dalam fasa peralihan negara menua kepada negara tua menjelang tahun 2048.

Dalam sesi kunjungan ke Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), perbincangan memberi fokus kepada potensi kolaborasi dalam bentuk penyelidikan dan perundingan dasar.

Sementara itu, sesi kunjungan ke PNB Research Institute (PNBRI) serta pertemuan bersama Puan Anja Juliah Abu Bakar, Pengasas dan Pengarah Impak dari Athena Holdings Sdn. Bhd, dan Dr. Nurmazilah Dato’ Mahzan, Pengarah Bukan Eksekutif Bebas (Independent Non-Executive Director) dari Bank Islam Malaysia Berhad, turut membincangkan potensi pelaksanaan program dan inisiatif kerjasama strategik pada masa hadapan. Disamping itu, sesi kunjungan ini juga merupakan salah satu platform terbaik untuk mempromosikan program Pascasiswazah SEFB kepada pihak industri.

Kunjungan ini mencerminkan komitmen ECOFI dan APM dalam memperkukuh jaringan kerjasama rentas institusi bagi menyokong agenda penyelidikan berimpak tinggi serta pembangunan dasar negara yang lebih inklusif dan mampan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button