berita dan gambar oleh: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE)
TAIPING, 26 Jun 2026: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan Retreat Pelan Strategik Pemerkasaan Pengurusan SOE yang berlangsung di Novotel Taiping pada 25 hingga 26 Jun 2026 dengan penyertaan seramai 33 orang yang terdiri daripada barisan pengurusan, penyelaras program, pengurus jawatankuasa dan kakitangan pentadbiran SOE.
Retreat selama dua hari ini bertujuan memperkukuh keupayaan pengurusan strategik SOE melalui perbincangan menyeluruh berkaitan pencapaian semasa, cabaran organisasi serta hala tuju baharu yang selari dengan aspirasi Pelan Strategik Universiti. Sepanjang program, peserta telah merangka aktiviti dan program dengan merujuk teras strategik universiti dan membentangkan perancangan jawatankuasa bagi tahun 2026.

Hasil daripada bengkel yang dijalankan, SOE berjaya menghasilkan Pelan Strategik 2026 yang lebih tersusun, komprehensif dan berorientasikan pencapaian. Pelan tersebut merangkumi perancangan aktiviti setiap jawatankuasa, pegawai bertanggungjawab (PIC), indikator prestasi utama (KPI), anggaran bajet serta penjajaran kepada teras dan objektif strategik universiti.
Retreat ini turut menjadi platform penting dalam memperkukuhkan kerjasama antara pengurusan akademik dan pentadbiran melalui perkongsian idea, penyelesaian isu secara kolektif serta penyelarasan strategi yang lebih bersepadu. Pendekatan ini dijangka mampu meningkatkan kecekapan tadbir urus dan memperkasakan budaya kerja berprestasi tinggi dalam kalangan warga SoE.
Secara keseluruhannya, objektif penganjuran retreat ini telah berjaya dicapai apabila semua jawatankuasa berjaya menyediakan pelan tindakan strategik masing-masing bagi tahun 2026 sebagai panduan pelaksanaan dan pemantauan prestasi pusat pengajian pada masa hadapan.



