SoE tingkatkan kualiti penulisan dan penerbitan
SINTOK, 29 Oktober 2024 – Bengkel Penulisan & Penerbitan Artikel Berimpak yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Penerbitan, Pusat Pengajian Pendidikan (SoE) telah berlangsung selama dua hari di EDC-UUM.
Dekan SoE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman berkata, bengkel ini bertujuan memberi peluang kepada staf akademik dalam menghasilkan artikel yang berimpak dan menerbitkannya di jurnal terkemuka seperti Scopus, WoS, dan MyCite.
“Sepanjang bengkel, peserta diberi pendedahan mengenai kepentingan artikel berimpak dalam dunia akademik serta proses pemilihan jurnal pendidikan yang sesuai untuk penghantaran artikel.
“Bengkel ini juga membolehkan peserta saling belajar, berkongsi pengalaman, bertukar idea serta mewujudkan kolaborasi antara pensyarah yang pelbagai bidang,” ujarnya, baru-baru ini.
Dengan penyertaan yang memberangsangkan dari 24 staf akademik, bengkel ini telah berjaya meningkatkan kemahiran penulisan dan pemahaman tentang proses penerbitan.
Beliau berharap agar bengkel ini akan diadakan dengan lebih kerap bagi memperkukuhkan lagi kualiti penerbitan di Pusat Pengajian Pendidikan.