SOL dan Fakulti Undang-undang Rangsit University anjur seminar akademik antarabangsa mengenai undang-undang antirasuah dalam era digital
Gambar dan berita oleh: Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah
SINTOK, 23 Jun 2026 – Fakulti Undang-undang, Rangsit University, Thailand dan Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui kerjasama dua institusi telah menganjurkan International Online Academic Seminar bertemakan “Anti-Corruption Laws in the Digital Age: Lessons and Practices from Thailand and Malaysia”.
Majlis dimulakan dengan pembukaan video korporat oleh dua-dua universiti dan diteruskan dengan ucapan aluan oleh Dekan SOL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab. Dekan mengalu-alukan penganjuran seminar tersebut sebagai satu inisiatif penting dalam memperkukuh hubungan akademik dan kerjasama strategik antara SOL UUM dan Fakulti Undang-undang Rangsit University.

Beliau turut menekankan bahawa program seumpama ini menyediakan platform terbaik untuk pertukaran idea, perkongsian kepakaran serta penerokaan peluang kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan.
Seminar yang berlangsung secara dalam talian menerusi platform Google Meet itu menghimpunkan ahli akademik, pelajar dan peserta dari Malaysia dan Thailand bagi membincangkan isu-isu berkaitan perundangan antirasuah serta cabaran baharu dalam era digital.
Program tersebut menampilkan dua orang penceramah yang berpengalaman dalam bidang masing-masing, iaitu Prof. Vicha Mahakun, Dekan Fakulti Undang-undang, Rangsit University, dan Dr. Mukhriz Mat Rus, Ketua Unit Integriti UUM merangkap Pensyarah Kanan, Sekolah Undang-Undang UUM.

Dalam seminar tersebut, kedua-dua penceramah berkongsi pandangan dan pengalaman berkaitan perkembangan undang-undang antirasuah di Thailand dan Malaysia, termasuk peranan teknologi digital dalam memperkukuh ketelusan, integriti dan akauntabiliti dalam sektor awam dan swasta.
Mereka turut membincangkan cabaran baharu yang timbul apabila urusan dan transaksi semakin didigitalisasikan, sekali gus memerlukan kerangka perundangan dan mekanisme penguatkuasaan yang lebih mantap.

Penganjuran seminar ini mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam memperkukuh hubungan kerjasama akademik dan memperluaskan jaringan antarabangsa dalam bidang pendidikan dan penyelidikan perundangan. Melalui perkongsian ilmu dan pertukaran idea seperti ini, para peserta berpeluang memahami pendekatan serta amalan terbaik kedua-dua negara dalam menangani isu rasuah yang semakin kompleks dalam era digital.

Selain memperkukuh hubungan antara Fakulti Undang-undang Rangsit University dan SOL UUM, seminar ini juga diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan, termasuk dalam bidang penyelidikan bersama, penerbitan akademik serta mobiliti pelajar dan pensyarah.
Program yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta yang terdiri daripada warga akademik dan pelajar dari kedua-dua institusi.



