CampusEducation

STF IBS UUM, KWSP dan IKBN Jitra berganding bahu perkasa literasi kewangan 208 pelajar

Gambar oleh: Khairul Anuar Adnan

JITRA, 18 Jun 2026 – Dana Sosial Takaful (STF), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra telah berjaya menganjurkan Program Hari Celik Kewangan (HACK) @ IPT 2026 bertempat di Dewan Ibnu Sina, IKBN Jitra, Kedah.

Program yang berlangsung itu telah menghimpunkan seramai 208 orang pelajar dan kakitangan IKBN Jitra sebagai usaha memperkukuhkan tahap literasi kewangan dalam kalangan generasi muda melalui pendedahan berkaitan pengurusan kewangan, perlindungan takaful, pelaburan dan perancangan persaraan.

Program ini diketuai oleh Pengarah Program HACK @ IPT 2026, Encik Mohd Saharudin Shakrani, yang menegaskan bahawa inisiatif seperti ini penting bagi memastikan golongan muda mempunyai kesedaran awal tentang pengurusan kewangan yang mampan.

Menurut beliau, “Program Hari Celik Kewangan (HACK) bukan sekadar platform perkongsian ilmu, tetapi satu usaha berterusan untuk membudayakan pengurusan kewangan yang bijak dalam kalangan belia. Pendedahan awal berkaitan kewangan, takaful, pelaburan dan persaraan amat penting supaya mereka lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi dan membina masa depan yang lebih terjamin.”

Beliau turut menambah bahawa kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan agensi kewangan seperti KWSP mampu memberi impak besar dalam melahirkan masyarakat yang lebih celik kewangan dan bertanggungjawab terhadap masa depan ekonomi mereka.

Antara pengisian utama program ialah Slot UUM yang telah disampaikan oleh Dr. Mohd Badrul Hakimi bin Daud, Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), yang membawakan topik berkaitan celik kewangan, takaful dan pelaburan bijak.

Dalam perkongsian tersebut, beliau menekankan kepentingan pengurusan wang yang sistematik, perlindungan kewangan melalui takaful serta kepelbagaian strategi pelaburan bagi menjamin kestabilan kewangan jangka panjang.

Program diteruskan dengan Slot KWSP yang disampaikan oleh Puan Nur Amalina binti Noordin, yang memberi pendedahan berkaitan simpanan, pelaburan dan perancangan persaraan.

Sesi ini memberi kefahaman kepada peserta mengenai kepentingan simpanan persaraan sejak awal serta strategi membina dana persaraan yang mampan untuk masa hadapan.

Penganjuran program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta dan dilihat berjaya mencapai objektif dalam meningkatkan kesedaran serta pengetahuan kewangan dalam kalangan warga IKBN Jitra.

Usaha berterusan seperti ini membuktikan komitmen Dana Sosial Takaful (STF), IBS UUM dalam memperkasakan masyarakat melalui pendidikan kewangan dan pembangunan kesejahteraan sosial, selaras dengan aspirasi melahirkan generasi muda yang lebih bersedia membuat keputusan kewangan secara bijak dan berhemah. – Mohd Saharudin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button