Campus

STML Green Carnival 2026 memperkasa kelestarian sempena hari alam sekitar sedunia

Gambar oleh: Sekretariat STML Green Carnival 2026

SINTOK, 23 Jun 2026 – Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah berjaya menganjurkan STML Green Carnival 2026 sempena Hari Alam Sekitar Sedunia di Dewan Seminar C, STML.

Program ini menghimpunkan pelajar, ahli akademik, pemimpin industri, agensi kerajaan serta komuniti setempat dalam usaha memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar dan pembangunan mampan.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Profesor Madya Dr. Mohammad Azam Hussain, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UUM, yang menekankan bahawa kelestarian bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama.

Beliau turut menyeru agar budaya inovasi dan amalan lestari terus dipupuk dalam kalangan warga universiti bagi melahirkan generasi yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Encik Che Abdul Khalid Md. Din, A.M.K., Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), yang turut menyampaikan ucaptama bertajuk “The Future of Sustainability in Education”.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan penggunaan tenaga solar sebagai sumber tenaga alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga konvensional. Menurut beliau, penggunaan sistem solar bukan sahaja mampu mengurangkan pelepasan karbon dan kos penggunaan tenaga dalam jangka panjang, malah menjadi antara langkah penting dalam menyokong agenda pembangunan mampan serta mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi hijau.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Puan Sharifah Zakiah Syed Sahab, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah, yang merasmikan pelancaran sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia.

Dalam ucapannya, beliau memberi penekanan terhadap isu sisa elektronik (e-waste) yang semakin membimbangkan akibat peningkatan penggunaan peralatan elektrik dan elektronik.

Beliau turut berkongsi panduan mengenai kaedah pelupusan e-waste yang betul, termasuk menghantar sisa elektronik ke pusat pengumpulan atau fasiliti yang diiktiraf bagi memastikan bahan berbahaya diproses secara selamat, sekali gus mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar.

Sepanjang karnival berlangsung, para pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang berteraskan kelestarian, antaranya Pameran Kerjaya, gerai jualan makanan, pengalaman Realiti Maya (VR), pameran kereta dan motosikal, permainan interaktif anjuran kelab-kelab STML seperti LogTrans, POM dan MOTIC, kempen derma darah serta pelbagai program pendidikan dan penglibatan komuniti yang memberi pendedahan kepada amalan gaya hidup lestari.

Penganjuran STML Green Carnival 2026 bukan sahaja menjadi platform untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi akademik, industri, agensi kerajaan dan masyarakat, malah berjaya meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara alam sekitar melalui pendidikan, inovasi dan penglibatan komuniti.

Pihak jawatankuasa penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua tetamu kehormat, rakan strategik, pempamer, penaja, sukarelawan serta ahli jawatankuasa yang telah memberikan komitmen dan sokongan padu dalam menjayakan penganjuran karnival ini.

Penganjuran STML Green Carnival 2026 mencerminkan komitmen berterusan STML dalam menyokong agenda kelestarian negara serta menginspirasikan generasi masa hadapan untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih mesra alam, bertanggungjawab dan lestari demi kesejahteraan bersama. – Nurul Liana Binti Mohd Arif

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button