STML perkukuh jaringan industri menerusi lawatan strategik ke Xin Sheng Environmental
Berita dan gambar oleh: Muhammad Asyraf Muhtadi Mohd Arshat
KULIM, 30 Julai 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkasakan jaringan strategik bersama pihak industri menerusi lawatan rasmi ke Xin Sheng Environmental (Malaysia) Sdn. Bhd. di Kulim.
Lawatan tersebut diketuai oleh Dekan STML, Prof. Madya Dr. Kamarul Irwan Abdul Rahim bersama Ketua Jawatankuasa Jaringan Industri dan Masyarakat STML, Prof. Madya Ts. Dr. Nurul Azita Salleh. Turut hadir ialah Ketua Unit Penyelidikan Advanced Materials and Manufacturing for Applied Research (AMMAR), Ts. Dr. Siti Khadijah Hubadillah.

Delegasi STML telah disambut oleh Pengarah Pembangunan Perniagaan Xin Sheng Environmental (Malaysia) Sdn. Bhd., Encik Abu Bakar Osman, yang menyampaikan penerangan menyeluruh mengenai latar belakang, operasi dan bidang kepakaran syarikat dalam pengurusan serta pemulihan sisa industri.
Dalam sesi yang sama, Prof. Madya Dr. Kamarul Irwan Abdul Rahim turut memperkenalkan STML, termasuk bidang pengajian, kepakaran akademik dan potensi kerjasama strategik yang boleh diterokai bersama pihak industri. Perkembangan dan kekuatan penyelidikan STML kemudiannya dibentangkan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi STML, Prof. Log. Ts. Dr. Mohd Rizal Razalli.
Perbincangan diteruskan dengan pengenalan Unit Penyelidikan AMMAR serta penyelidikan berkaitan bahan termaju, pembuatan, pengurusan sisa dan penghasilan produk bernilai tambah yang selari dengan bidang operasi Xin Sheng Environmental.

Tumpuan utama diberikan kepada usaha menangani sisa terjadual daripada proses pengeluaran zink, khususnya habuk Relau Arka Elektrik yang terhasil daripada industri pembuatan keluli.
Pihak industri menyatakan minat untuk meneroka pendekatan inovatif bagi menukarkan sisa tersebut kepada produk bernilai tinggi.
Beberapa peluang kerjasama penyelidikan turut dikenal pasti antara Xin Sheng Environmental, IoS dan Unit Penyelidikan AMMAR, khususnya dalam bidang pengurusan sisa serta pemanfaatan produk sampingan daripada pengeluaran zink oksida.

Lawatan ini bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam hubungan strategik antara universiti dan industri, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan penyelesaian lestari yang mampu memberikan impak kepada alam sekitar, ekonomi dan masyarakat.
Sebagai tanda komitmen terhadap kerjasama yang bakal dibangunkan, Xin Sheng Environmental (Malaysia) Sdn. Bhd. turut bersetuju untuk menyertai International Conference on Technology and Operations Management 2026 (iCTOM 2026) sebagai penyampai ucaptama dari industri.
Penyertaan tersebut dijangka dapat memperkukuh perkongsian kepakaran industri serta memperkayakan wacana berkaitan pengurusan teknologi, operasi, kelestarian dan inovasi dalam persidangan berprestij berkenaan.



