Campus

Sumbangan Pusat Zakat dan Wakaf UUM suburkan pengajian turath, perkasa pembangunan ilmu mahasiswa UUM

Berita dan gambar oleh : Nor Azlinah Zaini

SINTOK, 29 Julai – Peranan Pusat Zakat dan Wakaf Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam memperkasa pembangunan ilmu diperkukuhkan menerusi tajaan kepada kira-kira 30 mahasiswa bagi mengikuti Program Pengajian Pondok Universiti anjuran Pusat Islam UUM.

Melalui sumbangan tersebut, para peserta menerima tajaan kitab pengajian turath serta jamuan makan sepanjang program berlangsung.

Kemudahan ini membolehkan mereka mengikuti sesi pengajian dengan lebih selesa dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses menuntut ilmu.

Inisiatif ini membuktikan bahawa dana zakat dan wakaf bukan sahaja memenuhi keperluan kebajikan mahasiswa, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan berteraskan ilmu, adab dan kefahaman Islam yang sahih.

Menerusi Program Pengajian Pondok Universiti, mahasiswa berpeluang mendalami kitab turath dalam bidang akidah, fiqh dan tasawuf menurut manhaj ahli Sunnah wal Jamaah di bawah bimbingan guru yang berkelayakan.

Salah seorang penerima manfaat ini, Fazrin Nazifah Noor Azrim dari Inasis Bank Muamalat UUM berkata, peluang mengikuti program berkenaan merupakan satu nikmat yang amat bermakna kerana beliau berpeluang menimba ilmu agama tanpa perlu memikirkan kos penyertaan dan bahan pengajian.

Beliau menyifatkan sumbangan tersebut sebagai bukti keprihatinan institusi zakat terhadap pembangunan mahasiswa serta berharap lebih ramai pelajar berpeluang menikmati manfaat yang sama pada masa akan datang.

“Bantuan ini bukan sekadar meringankan beban kewangan kami, malah memberikan peluang untuk lebih fokus mendalami ilmu agama. Saya amat bersyukur kerana masih ramai penyumbang yang prihatin terhadap pendidikan dan kebajikan mahasiswa,” katanya.

Seorang lagi peserta, Ahmad Fuad Razali dari Inasis Yayasan Al-Bukhari UUM, turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang telah menginfakkan sebahagian rezeki mereka melalui Pusat Zakat dan Wakaf UUM.

Menurut beliau, sumbangan yang diterima bukan sekadar menyediakan keperluan pembelajaran, bahkan menjadi suntikan motivasi kepada mahasiswa untuk terus istiqamah menuntut ilmu serta menghayati warisan keilmuan Islam yang telah dipelihara oleh para ulama sejak sekian lama.

“Kami merasakan setiap kitab yang diterima dan setiap hidangan yang disediakan adalah hasil keikhlasan para penyumbang. Semoga Allah SWT membalas segala kebaikan mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda,” ujarnya.

Bagi Ummi Afiqah Kamalrozaman dari Inasis Sime Darby UUM pula, penyertaan dalam Program Pengajian Pondok Universiti memberikan pengalaman yang sangat bermakna kerana beliau berpeluang mempelajari kitab turath dalam suasana yang kondusif bersama rakan-rakan mahasiswa.

Beliau berkata, program seumpama ini bukan sahaja menyeronokkan, malah memperkaya kefahaman agama serta menyemai kecintaan terhadap tradisi keilmuan Islam.

“Saya memperoleh banyak manfaat ilmu sepanjang program ini. Terima kasih kepada Pusat Zakat dan Wakaf UUM serta Pusat Islam UUM yang telah memberikan peluang kepada kami untuk menyertai pengajian ini. Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan agar lebih ramai mahasiswa turut merasai manfaatnya,” katanya.

Sementara itu, Pusat Islam UUM merakamkan setinggi penghargaan kepada Pusat Zakat dan Wakaf UUM atas sokongan berterusan dalam menjayakan Program Pengajian Pondok Universiti, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada mahasiswa untuk mendalami khazanah ilmu Islam berteraskan tradisi turath.

Sesungguhnya setiap sumbangan zakat, wakaf dan infak yang diamanahkan bukan sekadar membantu memenuhi keperluan mahasiswa, malah menjadi pelaburan akhirat yang menyemarakkan budaya ilmu dalam kalangan generasi pewaris ummah.

Orang ramai terus dialu-alukan untuk menyumbang melalui Pusat Zakat dan Wakaf UUM dan akaun Masjid Sultan Badlishah agar lebih ramai mahasiswa dapat menikmati manfaat program pembangunan ilmu, kebajikan dan sahsiah pada masa hadapan.

Semoga setiap sumbangan yang dihulurkan menjadi sedekah jariah yang berterusan pahalanya, melahirkan generasi mahasiswa yang berilmu, berakhlak dan berbakti kepada agama, masyarakat serta negara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button