UUM bincang kerjasama endowmen bersama Maybank, perkukuh sinergi Universiti-Industri
Berita dan gambar oleh: M. Khairy Mukhtaruddin
KUALA LUMPUR, 3 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh jaringan strategik bersama industri apabila mengadakan pertemuan bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Dato’ Seri Khairussaleh Ramli di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur, bagi membincangkan pelbagai potensi kerjasama yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Delegasi UUM diketuai oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed bersama barisan pengurusan kanan universiti. Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada cadangan kerjasama dalam aspek dana endowmen, pembangunan bakat, penyelidikan, kebolehpasaran graduan serta pelaksanaan program komuniti yang mampu memperkukuh hubungan universiti-industri ke arah pembangunan modal insan negara.

Dalam perbincangan tersebut, Dato’ Seri Khairussaleh menyatakan komitmen Maybank untuk menyalurkan sumbangan zakat kepada UUM, termasuk melalui mekanisme zakat wakalah, sebagai sokongan kepada agenda pembangunan pendidikan dan kebajikan mahasiswa.
Selain itu, beliau turut bersetuju untuk memperkukuh peluang latihan praktikum kepada pelajar UUM melalui penyediaan slot latihan industri yang lebih tersusun dan berstruktur bagi meningkatkan kesiapsiagaan graduan menghadapi alam pekerjaan.
Naib Canselor turut mengemukakan cadangan pelaksanaan kohort khas program Sarjana UUM khusus untuk kakitangan Maybank sebagai inisiatif memperkasa pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan profesional warga institusi kewangan tersebut.

Mengulas cadangan itu, Dato’ Seri Khairussaleh memaklumkan bahawa pihak Maybank akan meneliti kemungkinan memanfaatkan Staff Training Funds (STF) bagi menyokong penyertaan kakitangan bank terbesar negara itu dalam program akademik yang ditawarkan oleh UUM.
Sementara itu, Dekan SEFB, Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd Rashid telah menyampaikan taklimat berhubung pelaksanaan pelbagai aktiviti dan inisiatif yang dijalankan bersama Dato’ Seri Khairussaleh selaku Profesor Adjung Perbankan SEFB.

Taklimat tersebut turut mengetengahkan sumbangan beliau dalam memperkukuh hubungan industri-akademia melalui perkongsian kepakaran, pembangunan bakat serta penglibatan aktif dalam pelbagai program akademik dan profesional anjuran SEFB.
Pertemuan strategik ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dan Maybank dalam membina kerjasama yang lebih mampan, sekali gus memperluaskan impak kepada pembangunan modal insan, penyelidikan, kebolehpasaran graduan serta kesejahteraan masyarakat melalui pendekatan kolaboratif antara universiti dan industri.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri, bersama pegawai-pegawai kanan UUM.



