Campus

UUM–KWSP perkukuh kerjasama strategik literasi kewangan mahasiswa

Gambar oleh: Khairul Anuar Adnan

GEORGETOWN, 29 Jun 2026– Dana Sosial Takaful (STF), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Sesi Perbincangan Meja Bulat anjuran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Wilayah Utara yang berlangsung di Pejabat KWSP Wilayah Utara, Georgetown, Pulau Pinang.

Sesi tersebut dipengerusikan oleh Puan Rozanah Binti Abdul Rahim, Ketua Perancangan Strategi KWSP Wilayah Utara, manakala delegasi UUM diketuai oleh Dr. Mohamad Yazid Bin Isa, Pensyarah Kanan merangkap Pengurus Dana Sosial Takaful (STF), IBS UUM.

Perbincangan memberi tumpuan kepada perancangan strategik dan hala tuju pelaksanaan program literasi kewangan, perlindungan sosial serta persediaan persaraan bagi tempoh 2027 hingga 2030.

Menurut Puan Rozanah, kerjasama strategik antara KWSP dengan institusi pengajian tinggi amat penting dalam memastikan mahasiswa menerima pendedahan awal berkaitan pengurusan kewangan, perlindungan sosial dan perancangan persaraan.

“Mahasiswa perlu dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran kewangan yang praktikal agar mereka lebih bersedia untuk mengurus pendapatan, simpanan dan komitmen kewangan apabila memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Antara agenda utama yang dibincangkan ialah usaha memperluas pelaksanaan program Hari Celik Kewangan atau HACK @ IPT, Program PADAWAN serta beberapa inisiatif pendidikan kewangan lain.

Program-program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran mahasiswa mengenai kepentingan amalan menabung, pengurusan kewangan secara berhemah, perlindungan sosial dan perancangan persaraan sejak di bangku pengajian.

Perbincangan turut memberi perhatian kepada usaha memperkukuh pelaksanaan Program PADAWAN di UUM melalui penglibatan mahasiswa daripada pelbagai pusat pengajian.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan pembangunan modul pendidikan kewangan, pelaksanaan latihan kepada mahasiswa serta perkongsian kepakaran antara KWSP dengan ahli akademik bagi meningkatkan keberkesanan dan impak setiap program yang dirancang.

Delegasi UUM turut disertai oleh Tuan Haji Mohd. Saharudin Shakrani daripada IBS merangkap Pengarah Hari Celik Kewangan (HACK), Dr. Tubagus Thresna, Encik Khairul Anuar Adnan daripada Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) serta Dr. Amirul Haqeem Abd. Ghani daripada Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), UUM.

Dr. Mohamad Yazid berkata, penglibatan UUM dalam sesi tersebut mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong usaha KWSP untuk memperkasakan literasi kewangan dalam kalangan mahasiswa.

“UUM bersedia menyumbangkan kepakaran akademik, hasil penyelidikan dan tenaga mahasiswa bagi memastikan setiap program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberikan impak yang bermakna kepada golongan sasaran,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama tersebut juga berpotensi diperluas melalui penglibatan rentas pusat pengajian, penyelidikan bersama dan pembangunan program pendidikan kewangan yang lebih sistematik serta berterusan.

Kerjasama strategik antara UUM dengan KWSP ini diharapkan dapat terus diperkukuh, sekali gus menyumbang kepada usaha melahirkan generasi yang lebih celik kewangan, berdisiplin dalam mengurus kewangan serta lebih bersedia menghadapi masa depan dan persaraan secara terancang. – Mohd Saharudin Shakrani

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button