Bengkel Asas Microsoft Power BI kepada Kumpulan Pengurusan dan Profesional Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK)
Berita dan gambar oleh: Prof. Madya. Ts. Dr. Jastini Mohd Jamil
ALOR SETAR, 14 Julai 2026: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Universiti Utara Malaysia menerusi Data-Driven Decision & Analytics Research Group terus membuktikan peranan aktifnya dalam memperkasa sektor korporat negara apabila ahli-ahli kumpulan penyelidikan ini menyampaikan Bengkel Asas Microsoft Power BI kepada Kumpulan Pengurusan dan Profesional Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) pada 13 dan 14 Julai 2026 di Bilik Mesyuarat, Tingkat 4, Wisma PKNK, Alor Setar.
Bengkel dua hari ini telah disampaikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Jastini Mohd Jamil dan Prof. Madya Ts. Dr. Izwan Nizal Mohd Shaharanee, pensyarah kanan dan penyelidik di SQS, UUM yang merupakan ahli Data-Driven Decision & Analytics Research Group.

Kumpulan penyelidikan ini memfokuskan kepada pembangunan pendekatan analitik data dan sokongan pembuatan keputusan berasaskan data, selaras dengan keperluan organisasi moden dalam era transformasi digital.
Seramai 40 peserta daripada kumpulan Pengurusan dan Profesional PKNK telah mengikuti bengkel ini yang dianjurkan oleh Unit Teknologi Digital PKNK dengan kerjasama Kedah Management Service (KMS).
Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, UUM merupakan pusat pengajian yang menjadi tumpuan kepakaran dalam bidang sains data, statistik gunaan, analitik perniagaan dan sistem sokongan keputusan.
Penglibatan staf dan ahli kumpulan penyelidikan SQS dalam program latihan industri seperti ini mencerminkan komitmen UUM dalam menyumbang kepakaran akademik secara langsung kepada sektor korporat dan awam negara.

Bengkel yang direka khusus untuk warga korporat sektor awam ini memberikan pendedahan menyeluruh serta sesi praktikal kepada peserta, merangkumi pengenalan kepada Microsoft Power BI, penyediaan dan pembersihan data menggunakan Power Query Editor, pembinaan laporan dan papan pemuka (dashboard) interaktif, penggunaan Data Analysis Expressions (DAX) untuk analisis dinamik, integrasi Generative AI dalam aliran kerja Power BI, serta kajian kes berasaskan senario agensi kerajaan sebenar.
Dataset yang digunakan sepanjang bengkel adalah berdasarkan situasi dunia sebenar seperti pelaporan prestasi jabatan, pemantauan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), analisis perbelanjaan serta pelaporan kepada agensi pusat Kerajaan bagi memastikan setiap pembelajaran terus relevan dan boleh diaplikasikan secara langsung dalam tugasan harian peserta.

Pada akhir bengkel, peserta telah berupaya memasang dan mengkonfigurasi Microsoft Power BI Desktop, menghubungkan pelbagai sumber data termasuk Excel, CSV dan web, membina dashboard interaktif untuk kegunaan jabatan, menggunakan fungsi DAX untuk pengiraan dinamik serta memanfaatkan Generative AI bagi mengautomasikan pelaporan jabatan.
Bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan PKNK dalam memperkasa kemahiran digital warga korporatnya bagi memastikan organisasi sentiasa relevan dan berdaya saing dalam era transformasi data masa kini.
Kerjasama strategik antara Unit Teknologi Digital PKNK, Kedah Management Service (KMS) dan kepakaran akademik dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), UUM ini diyakini mampu membuka lebih banyak peluang kepada warga PKNK dalam aspek literasi data, pelaporan berasaskan data dan pembuatan keputusan yang lebih strategik untuk pembangunan organisasi.



