Education

CEDI tuan rumah AUCC 2026 Zon Utara, perkasa literasi kewangan pelajar

Gambar Norsarina Shahrom dan Siti Nur Amirah Bukhori

SINTOK, 22 Jun 2026: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan ASEAN University Cashflow Challenge (AUCC) 2026 Zon Utara yang menghimpunkan pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di wilayah utara dalam usaha memperkukuhkan literasi kewangan, pemikiran strategik serta kemahiran membuat keputusan kewangan dalam kalangan generasi muda.

Program yang berlangsung di UUM ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pendidikan kewangan peringkat ASEAN yang menggunakan pendekatan simulasi menerusi Cashflow Gameboard, sebuah permainan simulasi kewangan yang dibangunkan oleh Robert T. Kiyosaki, tokoh pendidikan kewangan dan penulis buku Rich Dad Poor Dad yang terkenal di seluruh dunia.

Pendekatan pembelajaran berasaskan simulasi ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami realiti pengurusan kewangan, pelaburan dan pembinaan aset dalam suasana yang menyerupai situasi sebenar.

Melalui pertandingan ini, pelajar didedahkan kepada aspek pengurusan aliran tunai, strategi pelaburan, pengurusan risiko, pembinaan aset serta pemikiran keusahawanan yang diperlukan dalam menghadapi cabaran dunia sebenar. Selain itu, program ini turut membantu peserta meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis, membuat keputusan yang berkesan dan mengenal pasti peluang kewangan yang berpotensi untuk menjana kekayaan secara mampan.

Dalam pertandingan tersebut, seramai lapan peserta berjaya mencatatkan markah tertinggi dan layak mewakili Zon Utara ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Oktober depan. Mereka terdiri daripada empat pelajar UUM, tiga pelajar UniSIRAJ dan seorang pelajar UiTM Perlis.

Daripada lapan peserta terbaik tersebut, tiga peserta telah dipilih sebagai pemenang utama berdasarkan pencapaian keseluruhan dalam pertandingan. Woo Kha Fai dari UUM dinobatkan sebagai juara, diikuti Nyi Nyi Han dari UniSIRAJ sebagai naib juara, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Heng Wei Wei dari UUM. Kesemua lapan peserta terbaik ini akan mewakili Zon Utara ke Grand Final AUCC 2026.

Pengarah CEDI UUM, Dr. Juhaida Abu Bakar dalam ucapannya menyifatkan penganjuran AUCC 2026 Zon Utara sebagai platform penting dalam membudayakan pendidikan kewangan dan memperkasakan kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar selaras dengan keperluan ekonomi masa kini.

Menurutnya, pendekatan pembelajaran berasaskan simulasi yang diterapkan menerusi pertandingan ini bukan sahaja membantu pelajar memahami konsep kewangan dengan lebih mendalam, malah melatih mereka untuk berfikir secara strategik, membuat keputusan yang berkesan serta mengurus risiko dalam persekitaran yang menyerupai situasi sebenar.

“CEDI UUM sentiasa komited dalam menyediakan platform pembangunan bakat yang berimpak tinggi kepada pelajar.

“AUCC bukan sekadar sebuah pertandingan, tetapi merupakan medium pembelajaran yang mampu melahirkan generasi muda yang celik kewangan, berdaya tahan dan mempunyai minda keusahawanan yang kompetitif di peringkat serantau,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua institusi pengajian tinggi yang mengambil bahagian, para fasilitator, urus setia serta rakan strategik yang telah bersama-sama menjayakan penganjuran AUCC 2026 Zon Utara.

Program ini dianjurkan melalui kerjasama strategik antara Centre for Entrepreneurship and Management (CEM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Now Asia International Sdn. Bhd. dan UUM yang mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuhkan literasi kewangan dan pembangunan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa sebagai persediaan menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.

Penganjuran program ini selaras dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan, berfikiran strategik dan memiliki kompetensi kewangan yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat pada masa hadapan. – Akmal Ahlami Md Rozai

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button