Education

Dari Al-Quran Ke Keusahawanan: Asnaf UUM digilap jadi usahawan muda melalui QI Camp

Berita dan gambar Muhammad Syazwan Menon

KULIM, 22 Jun 2026: Pusat Islam bersama Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memainkan peranan aktif dalam memperkasakan pelajar apabila menjayakan beberapa modul pembangunan keusahawanan sempena Q-INSPIRE CAMP: Inspired by Quran, Driven for Success (Qi Camp) di KEDA Resort Sungai Seluang, Kulim.

Melalui kerjasama strategik bersama Pusat Islam UUM, peserta yang majoritinya terdiri daripada pelajar asnaf dan berkeperluan telah didedahkan dengan ilmu keusahawanan yang praktikal dan relevan dengan cabaran semasa.

Modul yang dikendalikan oleh Penyelaras Keusahawanan Sosial CEDI, Dr. Hanis Hazwani Ahmad merangkap Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) memberi fokus kepada pembangunan kemahiran insaniah, komunikasi, perancangan kewangan dan pembentukan idea perniagaan.

Melalui slot Leadership Challenge, peserta mempelajari teknik asas pengucapan awam, santunan pelanggan serta keterampilan diri sebelum diberi peluang melakukan simulasi pembentangan perniagaan selama satu minit.

Seterusnya, slot Dari Idea ke Realiti memberi pendedahan kepada peserta mengenai kaedah membangunkan idea perniagaan yang berpotensi, pengurusan kewangan asas serta penyediaan pelan perniagaan ringkas secara berkumpulan.

Aktiviti Driven for Success pula menguji kebolehan peserta dalam menyelesaikan masalah, membuat keputusan dan berkomunikasi secara berkesan melalui tugasan berkumpulan yang mencabar.

Dr. Hanis Hazwani berkata, pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar asnaf penting bagi membina keyakinan diri serta membuka ruang kepada mereka menjana pendapatan secara beretika dan mampan.

Kemuncak modul keusahawanan ialah sesi pembentangan kumpulan yang memperlihatkan kreativiti peserta menghasilkan idea perniagaan dan projek sosial yang berpotensi untuk dikembangkan pada masa hadapan.

Salah satu pengisian yang paling memberi impak kepada peserta ialah Malam Inspirasi yang menampilkan perkongsian kisah kejayaan usahawan muda UUM, Luqman Hakim Zawawai selaku Pengasas Chatter Coffee dan Sepagi Kopitiam.

Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi perjalanan jatuh bangun sebagai usahawan pelajar, bermula dari minat kecil sehingga berjaya membina jenama perniagaan yang dikenali dalam kalangan warga kampus.

“Kejayaan dalam keusahawanan bukan datang dalam sekelip mata. Ia bermula dengan keberanian untuk mencuba, kesanggupan untuk gagal, dan kesungguhan untuk bangkit semula.

“Pelajar perlu yakin bahawa setiap idea kecil boleh berkembang menjadi sesuatu yang besar jika diusahakan dengan konsisten,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pelajar agar tidak takut untuk memulakan langkah pertama dalam bidang perniagaan walaupun dengan modal yang kecil.

Sementara itu, Pegawai Tadbir CEDI, Akmal Ahlami Md Rozai berkata, penganjuran modul keusahawanan ini membuktikan komitmen CEDI dan UUM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja bergantung kepada peluang pekerjaan, malah mampu mencipta peluang ekonomi sendiri berlandaskan nilai integriti dan kecemerlangan yang digariskan oleh universiti.

Menurutnya, CEDI UUM menzahirkan harapan agar pendedahan keusahawanan melalui QI Camp dapat membentuk pelajar yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga mampu berdikari dan berdaya saing dalam dunia sebenar.

“Kami mahu pelajar asnaf dan pelajar UUM keluar daripada program ini dengan keyakinan baharu bahawa mereka mampu mencipta masa depan sendiri melalui keusahawanan yang beretika dan mampan,” katanya.

Penganjuran modul keusahawanan ini membuktikan komitmen berterusan CEDI dalam melahirkan generasi mahasiswa yang berfikiran kreatif, inovatif serta mampu menjana ekonomi diri dan masyarakat berlandaskan nilai integriti dan keunggulan universiti.

Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md. Sabri berkata, pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar asnaf merupakan antara agenda penting universiti dalam membantu meningkatkan daya tahan ekonomi pelajar.

“Golongan asnaf tidak seharusnya melihat diri mereka sebagai penerima bantuan semata-mata. Mereka perlu dibimbing untuk menjadi individu yang mampu berdikari, menjana pendapatan dan akhirnya menjadi penyumbang semula kepada masyarakat.

“Pengisian bersama CEDI memberi peluang kepada peserta memahami asas keusahawanan secara praktikal dan realistik mengikut kemampuan pelajar,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa konsep keusahawanan Islam yang diterapkan dalam program ini bukan sekadar mengejar keuntungan, tetapi membina perniagaan yang berintegriti, amanah dan memberi manfaat kepada masyarakat yang menjadikan keberkatan sebagai matlamat utama, bukan keuntungan semata-mata.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button