Education

Dari Kampus Ke Dunia Kerja: Alumni UUM kongsi rahsia kejayaan bersama pelajar SEFB

Gambar Nur Adriana Natasya Che Abdullah dan Dr. Edie Erman Che Johari

SINTOK, 24 Mei 2026: Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan Program Perbincangan Jalinan Industri bersama First Grade Resources Sdn. Bhd. serta sesi Alumni Talk bertajuk “Economics Pathways: From Campus to Career” bagi memperkukuhkan hubungan strategik antara institusi akademik dan industri.

Program dimulakan dengan sesi perbincangan strategik jalinan industri antara pihak SEFB yang diketuai oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd Rashid dan pihak First Grade Resources Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Pengarah Urusannya, Zulkifli Yusop yang juga merupakan alumni program Ekonomi UUM.

Sesi tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri sebagai tetamu jemputan.

Perbincangan yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan profesional itu memberi fokus kepada beberapa agenda penting termasuk penempatan latihan industri pelajar SEFB, pelaksanaan program pembangunan pelajar, kolaborasi akademik-industri, program tanggungjawab sosial korporat (CSR), serta penglibatan alumni dalam pelbagai aktiviti anjuran SEFB.

Dalam ucapan Dr. Rasidah menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas perbincangan yang berlangsung dengan baik serta berharap jalinan kerjasama ini menjadi titik permulaan kepada hubungan yang lebih kukuh dan produktif antara SEFB dan First Grade Resources Sdn. Bhd.

Beliau turut menekankan kepentingan hubungan erat antara universiti dan industri dalam memberikan pendedahan sebenar kepada pelajar mengenai dunia pekerjaan, di samping memastikan program pengajian yang ditawarkan di SEFB sentiasa relevan dan memenuhi keperluan semasa industri.

Sejurus selepas sesi perbincangan tersebut, satu sesi Alumni Talk bertajuk “Economics Pathways: From Campus to Career” telah diadakan di DKG2/7 hasil anjuran bersama Persatuan Pelajar Ekonomi (ECOSA) yang dihadiri lebih 140 pelajar semester akhir program Ekonomi yang berpeluang mendengar perkongsian pengalaman, cabaran kerjaya serta kata-kata motivasi daripada Zulkifli.

Dalam sesi tersebut, beliau turut berkongsi perjalanan kerjaya dan pengalaman beliau sebagai alumni UUM sehingga berjaya menerajui syarikat sendiri. Sebagai tanda penghargaan, beliau juga menyampaikan cenderahati kepada semua pelajar yang hadir atas komitmen dan kesudian mereka menyertai program tersebut. – Dr. Edie Erman Che Johari

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button