Education

Dari Kampus Ke Komuniti: Misi Kelestarian Mahasiswa UUM

Berita dan gambar Nur Syaza Izzati Abd Majid

BUKIT KAYU HITAM, 6 Julai 2026: Seramai 114 pelajar yang mengikuti kursus BEESK3053 Current Issue in Economics di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Bank (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjayakan Program SULAM: Ecolife Outreach di Kampung Padang Satu, Mukim Bukit Kayu Hitam, baru-baru ini.

Program yang dilaksanakan menerusi pendekatan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, mengukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti serta membentuk pelajar yang mempunyai nilai kepimpinan, kesukarelawan dan tanggungjawab sosial melalui pembelajaran berasaskan pengalaman.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Program, Syafiq Danial Sulaiman yang menyatakan bahawa Program SULAM: Ecolife Outreach merupakan inisiatif untuk meningkatkan kesedaran dan amalan kelestarian alam sekitar dalam kalangan warga kampus serta komuniti.

Menurutnya, program ini menjadi platform untuk meupuk semangat kerjasama, gotong-royong dan tanggungjawab sosial ke arah mewujudkan persekitaran yang bersih, hijau dan mampan.

Katanya, kejayaan program ini membuktikan bahawa kerjasama erat antara universiti, komuniti dan industri mampu menghasilkan impak yang berpanjangan.

”Kami berharap hubungan yang terjalin bersama penduduk Kampung Padang Satu tidak terhenti di sini. Sebaliknya, ia menjadi asas kepada lebih banyak program kolaboratif yang mampu memberi manfaat kepada komuniti dan pada masa yang sama memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar,” katanya.

Turut menyampaikan ucapan ialah wakil Environment Idaman Sdn. Bhd. (E-Idaman), Muhammad Mukhrizani Mahmud yang berkongsi kepentingan pengurusan sisa secara mampan dan amalan kitar semula, diikuti ucapan oleh Pensyarah Penasihat SEFB, Prof. Dr. Siti Hadijah Che Mat yang menekankan kepentingan pembelajaran melalui penglibatan bersama komuniti.

Turut hadir memeriahkan program ialah Ketua Kampung Padang Satu, Ahmad Sabri Ismail, Prof. Dr. Mukaramah Harun serta Timbalan Pengerusi SULAM Ecolife Outreach, Dr. Wan Roshidah Fadzim,, wakil E-Idaman serta penduduk Kampung Padang Satu.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti berteraskan kelestarian dan kebajikan komuniti telah dijalankan dengan penyertaan aktif 35 penduduk Kampung Padang Satu. Antaranya ialah senamrobik, free market, penanaman 30 batang anak pokok sumbangan oleh pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, aktiviti mengecat dinding, membersihkan surau serta perkarangan surau, penyediaan makanan berkonsepkan rewang dan E-Idaman Collection, yang berjaya mengumpulkan lebih 50 kilogram bahan kitar semula.

Aktiviti Free Market memberi peluang kepada penduduk mendapatkan keperluan harian secara percuma hasil sumbangan pelbagai pihak, manakala aktiviti gotong-royong dan mengecat berjaya menceriakan kawasan surau dan persekitaran kampung. Penanaman pokok pula dilaksankan sebagai simbol komitment terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan komuniti yang mampan.

Dr. Siti Hadijah berkata, pendekatan SULAM memberi peluang kepada mahasiswa untuk menghubungkan teori yang dipelajari di bilik kuliah dengan pengalaman sebenar di lapangan.

”Program seperti ini membolehkan pelajar memahami isu semasa bukan hanya melalui pembelajaran akademik, tetapi juga melalui interaksi langsung dengan masyarakat.

“Pengalaman ini membantu membentuk graduan yang lebih berempati, bertanggungjawab dan bersedia menyumbang kepada pembangunan komuniti,” katanya.

Program SULAM: Ecolife Outreach berjaya mencapai objektif pembelajaran kursus BEESK3053 Current Issue in Economics dengan menghubungkan ilmu akademik kepada aplikasi dunia sebenar melalui khidmat masyarakat. Lebih daripada sekadar memenuhi keperluan kursus, program ini membuktikan bahawa pelajar mampu menjadi penyumbang kepada pembangunan komuniti dan kelestarian alam sekitar.

Penganjuran program ini turut memperkukuhkan hubungan strategik antara Universiti Utara Malaysia, Environment Idaman, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dan komuniti Kampung Padang Satu, sekali gus menyokong aspirasi universiti dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan bertanggungjawab terhadap pembangunan lestari.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button