Data-Driven Decision & Analytics Research Group terus memperluaskan jejak khidmat kepakaran akademiknya kepada sektor industri negara
Berita dan gambar oleh: Izwan Nizal Mohd Shaharanee
Kuala Lumpur, 21 Julai 2026: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Data-Driven Decision & Analytics Research Group terus memperluaskan jejak khidmat kepakaran akademiknya kepada sektor industri negara apabila ahli kumpulan penyelidikan ini mengadakan perbincangan strategik bersama Mohammad Rahimi bin Nordin, Ketua Pegawai Operasi RISDA Semaian Dan Landskap Sdn. Bhd. bagi mengenal pasti penyelesaian menyeluruh kepada cabaran digital yang dihadapi syarikat.
RISDA Semaian Dan Landskap Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat Bumiputera yang ditubuhkan pada 1979 dan dimiliki sepenuhnya oleh RISDA Holdings, serta diiktiraf sebagai antara pengeluar dan pembekal anak benih getah dan sawit terkemuka negara.

Namun di sebalik penghasilan produk baik, syarikat ini menghadapi cabaran keterlihatan pasaran kerana anak benih sawit berkualiti tinggi yang dihasilkan masih kurang dikenali dalam kalangan bakal pelanggan, menjadikan transformasi digital sebagai keperluan mendesak.
Bertitik tolak daripada cabaran inilah, perbincangan menumpukan kepada tiga paksi penyelesaian. Pertama, latihan modul bersepadu merangkumi Pengurusan Hubungan Pelanggan (CRM), Pengoptimuman Enjin Carian (SEO) dan Analitik Data yang membolehkan syarikat mengurus maklum balas pelanggan secara sistematik, menganalisis maklumat pelanggan dan meningkatkan keterlihatan digital produk di enjin carian.
Kedua, pelaksanaan sistem Point of Sales (POS) bagi pengurusan transaksi dan papan pemuka operasi syarikat. Ketiga, pembangunan dashboard data anak benih sawit berbentuk projek penyelidikan yang berpotensi melahirkan model analitik pertanian sebagai rujukan industri.
Kerjasama yang bakal terjalin ini diyakini mampu mengangkat daya saing RISDA Semaian dalam pasaran pertanian Bumiputera, sekaligus memperkukuhkan ekosistem penyelidikan gunaan UUM dalam bidang analitik data pertanian.



