Delegasi UUM bincang strategi bersama CelcomDigi
Gambar Dr. Aidanajwa Sabri
KUALA LUMPUR, 24 Mei 2026: Delegasi Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan satu sesi perbincangan strategik bersama pihak CelcomDigi di Menara CelcomDigi bagi memperkenalkan beberapa inisiatif pembangunan pelajar berteraskan industri.

Delegasi UUM diketuai oleh Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Dr. Fikriyah Abdullah bersama Penyelaras School of Hard Knocks (SoHK), Dr. Aidanajwa Sabri, manakala CelcomDigi diwakili Pakar Penjenamaan Majikan, Chien Jo Wong dan Ketua Perhubungan, Hwee Yen Chew.
Dr. Fikriyah berkata, perbincangan tersebut memberi fokus kepada pengenalan inisiatif SoHK, program pembangunan pelajar berteraskan industri yang bertujuan memperkukuhkan pembangunan bakat pelajar selari dengan keperluan dan kehendak industri semasa.
Melalui sesi ini, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama strategik dalam melahirkan graduan yang lebih kompetitif, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi dunia pekerjaan sebenar.

Program-program yang diketengahkan juga dilihat mampu memberi pendedahan awal kepada pelajar berkaitan industri telekomunikasi, pembangunan kemahiran insaniah serta pengalaman pembelajaran berasaskan industri.
Dr. Fikriyah turut menyatakan bahawa kerjasama bersama pihak industri seperti CelcomDigi amat penting dalam memastikan pelajar memperoleh pengalaman dan pendedahan yang relevan dengan kehendak pasaran kerja masa kini.
Pertemuan ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kolaborasi strategik pada masa akan datang sekaligus memberi manfaat kepada pelajar UUM dalam aspek pembangunan akademik, profesional dan kepimpinan. – Anis Zulaikha Kamal



