Education

IHM (IBS) kongsi peranan sebagai penyedia latihan halal kepada industri hotel

Gambar oleh: Dr Nor Aina Mhd Khotib

LANGKAWI, 15 Julai 2026: Institut Pengurusan Halal (IHM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dijemput oleh Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) untuk menyampaikan slot bertajuk “Peranan Penyedia Latihan Halal kepada Industri Hotel” sempena Kursus Pemantapan Prosedur Pensijilan Halal untuk Industri Hotel yang berlangsung pada 13 hingga 15 Julai 2026 di Institut Pengurusan Peladang Langkawi. Jemputan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap IHM dalam pembangunan kompetensi halal kepada industri.

Penganjuran kursus ini membuktikan kesungguhan Bahagian Pengurusan Halal JHEAIK dalam memperkasakan pelaksanaan pensijilan halal khususnya dalam kalangan pengusaha hotel di Langkawi. Usaha ini bukan sahaja mampu meningkatkan tahap pematuhan terhadap standard pensijilan halal Malaysia, malah turut memperkukuhkan keyakinan pengguna serta menyokong aspirasi Langkawi sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim yang diyakini di peringkat nasional dan antarabangsa.

Slot berkenaan telah disampaikan oleh Dr. Nor Aina binti Mhd Khotib, Pengarah Institut Pengurusan Halal (IHM) yang berkongsi mengenai kepentingan latihan halal dalam meningkatkan kefahaman, kompetensi dan pematuhan industri terhadap keperluan pensijilan halal Malaysia.

Sebagai Penyedia Latihan Halal (PLH) yang berdaftar dengan JAKIM, IHM terus memainkan peranan aktif dalam memperkasakan kompetensi halal industri khususnya di sekitar utara Semenanjung Malaysia meliputi Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Melalui pelaksanaan pelbagai latihan halal seperti Latihan Kesedaran Halal, Eksekutif Halal, Audit Halal Dalaman, Sistem Jaminan Halal Malaysia (MHMS) serta kursus-kursus khas mengikut keperluan industri, hampir 400 syarikat telah mengikuti latihan halal yang dianjurkan oleh IHM sekali gus mencerminkan kepercayaan berterusan industri terhadap kepakaran dan komitmen universiti dalam pembangunan modal insan halal negara.

IHM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bahagian Pengurusan Halal JHEAIK atas jemputan dan kerjasama strategik yang diberikan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada JHEAIK atas inisiatif berterusan dalam memartabatkan proses pensijilan halal bagi industri hotel di Langkawi.

IHM berharap kerjasama dengan kerjasama ini dapat melahirkan lebih ramai pemain industri yang kompeten serta menyumbang kepada kelestarian ekosistem halal negara. – Dr Nor Aina Mhd Khotib

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button