Education

“Kubang Pasu Wedding Fair 2026” jadi platform perkenal dan angkat potensi usahawan acara tempatan

Gambar Khoo Yong Kit dan Tan Wen En 

CHANGLUN, 23 Jun 2026: Usaha memperkukuhkan hubungan antara universiti, industri dan komuniti terus diperkasakan apabila seramai 93 pelajar kursus GHZTK4123 – Isu Kontemporari dalam Pengurusan Acara, Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menganjurkan “Kubang Pasu Wedding Fair 2026” di C-Mart Changlun, baru-baru ini.

Program berteraskan pendekatan Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) itu merupakan kesinambungan kepada projek komuniti Ideavista Event Kubang Pasu yang dilaksanakan pada Semester A252 bagi mengenal pasti potensi, cabaran dan keperluan industri acara di daerah Kubang Pasu.

Di bawah bimbingan pensyarah kursus, Dr. Norwani Mohd Nazari, penganjuran ini dilaksanakan dengan kerjasama strategik Event Management Training, Research Activities and Consultancy (EMTRAC), Changloon Transformasi Programme (CTP) dan CMart Changlun sebagai usaha menyediakan platform kepada usahawan serta penyedia perkhidmatan acara tempatan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada masyarakat.

Dr. Norwani berkata, data dan maklumat yang dikumpulkan menerusi projek terdahulu telah digunakan sebagai asas dalam merancang program yang lebih berimpak kepada komuniti setempat.

“Program ini merupakan langkah awal dalam membantu komuniti Kubang Pasu memasarkan produk dan perkhidmatan berkaitan industri acara. Kami berharap lebih banyak program pembangunan kapasiti, bengkel dan sesi perkongsian ilmu dapat dilaksanakan pada masa hadapan bagi meningkatkan kemahiran dan daya saing komuniti.

“Usaha ini selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi inisiatif SULAM yang menggalakkan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar sambil memberi manfaat langsung kepada masyarakat,” katanya.

SONY DSC

Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai syarikat dan usahawan tempatan telah mengambil bahagian sebagai pempamer termasuk Swire (M) Sdn. Bhd., Dreams Bridal Gallery, MUA Nellysa dan Emcee Maira, selain pempamer jemputan daripada Projek Buku Merah Sdn. Bhd. yang turut menjadi antara penaja program.

Antara tarikan utama yang mendapat perhatian pengunjung ialah pertunjukan fesyen pengantin tajaan penuh Dreams Bridal Gallery yang menampilkan 10 koleksi busana pengantin terkini. Pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi solekan profesional oleh MUA Nellysa yang berkongsi teknik dan trend solekan pengantin semasa. Suasana program turut dimeriahkan dengan persembahan enam buah lagu oleh kumpulan Renjaka Band yang ditaja oleh Cafe Roots, Inasis BSN UUM.

Selain pameran dan persembahan hiburan, pelbagai aktiviti interaktif turut diadakan termasuk Couple Challenge yang menguji keserasian pasangan suami isteri dan bakal pengantin. Program turut menampilkan sesi perkongsian Wedding Insight berkaitan pengurusan kewangan perkahwinan serta demonstrasi fotografi oleh Encik Mohd Fuad Hamid daripada Sriteminx Enterprise yang memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai aspek perancangan dan dokumentasi majlis perkahwinan.

SONY DSC

Majlis juga diserikan dengan persembahan nyanyian daripada pelajar UUM, Muhammad Haiqal Haizad Nazri dan Wong Yu Song, yang secara sukarela menyumbangkan bakat mereka melalui lima lagu sepanjang program berlangsung.

Program tersebut mendapat sokongan tajaan pelbagai pihak termasuk Himalaya, BKS Pocket Perfume, Rass D’sign and Event, Vida dan beberapa rakan industri yang bersama-sama menyumbang ke arah kejayaan penganjuran acara berkenaan.

Sementara itu, pihak C-Mart Changlun menerima penghargaan atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sepanjang program berlangsung. Selain menyediakan lokasi penganjuran, pihak C-Mart turut membantu dari aspek logistik, kemudahan, teknikal dan peralatan bagi memastikan kelancaran program.

Senior Event Executive, C-Mart, Wan Nur Farihan Wan Mohd Zaim dan Senior Eksekutif Operasi, Mohd Hafifuddin Aziz turut hadir dalam majlis perasmian dan menyatakan kesediaan syarikat untuk terus menyokong program yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa STHEM, Dr. Eshaby Mustafa, yang turut dihadiri Pengarah EMTRAC, Dr. Ahmad Edwin Mohamed; Pengerusi Program Pengurusan Acara, Dr. Lina Munirah Kamarudin, pensyarah, wakil industri dan komuniti setempat.

Dr. Eshaby berkata, program tersebut amat bertepatan dengan aspirasi UUM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah mampu mengaplikasikan ilmu yang dipelajari untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan SULAM memberi peluang kepada pelajar untuk memahami situasi sebenar industri sambil menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat. Selain membantu meningkatkan keterlihatan perniagaan tempatan, program seperti ini turut membuka ruang jaringan kerjasama yang lebih luas antara komuniti, industri dan institusi pendidikan tinggi.

Penganjuran “Kubang Pasu Wedding Fair 2026” membuktikan bahawa pembelajaran berasaskan komuniti mampu menjadi medium yang berkesan dalam membangunkan kemahiran mahasiswa, memperkasakan usahawan tempatan serta menyumbang kepada pembangunan industri acara yang lebih mampan di daerah Kubang Pasu. – Tang Zhi Yi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button