Education

Kunjungan hormat CEDI UUM ke MARA Kedah perkukuh kolaborasi pembangunan keusahawanan

Berita dan gambar Dr. Mohamad Hanif Abu Hassan

ALOR SETAR, 17 Mei 2025: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan kunjungan hormat ke Pejabat MARA Negeri Kedah di Ibu Pejabat MARA Kedah, baru-baru ini.

Delegasi CEDI diketuai oleh Pengarah CEDI, Dr. Juhaida Abu Bakar bersama Timbalan Pengarah (Latihan dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar), Dr. Saiful Azizi Ismail dan Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Jaringan Keusahawanan Pelajar), Dr. Mohamad Hanif Abu Hassan.

Dr. Juhaida berkata, lawatan ini bertujuan membincangkan potensi kolaborasi strategik dalam bidang keusahawanan yang melibatkan pembangunan usahawan komuniti serta pembangunan keusahawanan pelajar.

Sementara MARA Kedah pula diketuai oleh Pengarah MARA Kedah, Rizal Effendi Razali yang juga merupakan alumni UUM dan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Usahawan), Fauzi Md Fadzil.

Rizal Effendi menyatakan rasa gembira dan menghargai kunjungan hormat daripada CEDI UUM, selain melihat lawatan tersebut sebagai platform terbaik untuk memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua institusi dalam agenda pembangunan keusahawanan.

Melalui lawatan tersebut, kedua-dua pihak telah membincangkan beberapa peluang kerjasama strategik termasuk cadangan pemeteraian Surat Hasrat (LOI), pelaksanaan program pembangunan usahawan, serta pembangunan inkubator keusahawanan bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan di peringkat komuniti dan pelajar.

MARA Kedah turut menyatakan komitmen dan keterbukaan yang tinggi untuk menjalinkan kerjasama bersama CEDI UUM dalam masa terdekat dan melihat CEDI sebagai rakan strategik yang berpotensi dalam memperkukuhkan agenda pembangunan keusahawanan, khususnya melibatkan latihan, pembangunan usahawan, penyelidikan, dan program inkubator.

Lawatan ini dilihat sebagai satu petunjuk positif ke arah memperkukuh jaringan strategik antara UUM dan MARA dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing dan mampan selaras dengan agenda pembangunan keusahawanan negara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button