Education

Kunjungan hormat Pengurusan TVET UUM ke atas Pengarah JAIPP bincang kerjasama strategik dalam Program TVET

Berita dan gambar Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad

PULAU PINANG, 2 Julai 2026: Dalam usaha memperkasakan pembangunan modal insan berteraskan bidang agama, Pengarah Pengurusan TVET UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad bersama Timbalan Pengarah Pengurusan TVET UUM, Kamal Khalid telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang di Bilik VVIP Masjid Seberang Perai Tengah.

Pertemuan tersebut menjadi platform perbincangan meja bulat yang memfokuskan kepada pembangunan modal insan dalam bidang agama, khususnya dalam menghadapi perubahan landskap pekerjaan dan keperluan kemahiran masa hadapan.

Perbincangan turut meneliti potensi kerjasama strategik bagi memperkukuh ekosistem TVET berteraskan nilai-nilai Islam, sekali gus melahirkan tenaga kerja yang kompeten, berdaya saing dan memenuhi tuntutan industri serta masyarakat.

Pertemuan ini turut dilanjutkan dengan pertemuan dengan wakil dari Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Azahar  Hassan dan Dato’ Mohd Tuah Ismail, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri Pulau Betong. Turut hadir dalam perbincangan ini ialah Pengarah Urusan HUMEX Sdn. Bhd., Zanisah Abdullah.

Dr. Shanusi  berkata, sinergi ini merangkumi penawaran program Sijil Kemahiran Malaysia secara Pencapaian Pengalaman Terdahulu (SKM-PPT) yang dikhususkan untuk memperkasakan laluan kerjaya dalam keusahawanan bagi meningkatkan kemahiran dan memberi pengiktirafan  dalam kalangan usahawan negeri  itu sendiri.

Menurutnya, kolaborasi ini melambangkan integrasi kepakaran Pengurusan TVET UUM bersama-sama dengan nilai teras kemahiran melibatkan pihak Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, Persatuan Nelayan dan Usahawan-usahawan di negeri Pulau Pinang melalui pemerkasaan kelayakan para peserta yang akan terlibat nanti melibatkan masa depan dan keusahawanan.

Pihak Jabatan Agama Islam Pulau Pinang juga turut menzahirkan keyakinan penuh terhadap keupayaan Pengurusan TVET UUM dan menyambut baik kesediaan UUMKL untuk bekerjasama rapat dengan turut melibatkan latihan yang lebih spesifik demi merealisasikan agenda dan Dasar TVET Negara.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button