Kunjungan Mahabbah Pusat Islam ke Institusi Pondok di Pattani perkukuh jaringan keilmuan
Berita dan gambar Syahril Fazli Mat Hussain
PATTANI, 6 Julai 2026: Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan rasmi dan kunjungan mahabbah ke dua buah institusi pendidikan Islam tradisional di Pattani, Thailand.
Kunjungan delegasi terdiri seramai lapan staf itu diketuai oleh Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md. Sabri serta turut diiringi oleh seorang pelajar latihan industri.

Mohd Yusnaidi berkata, inisiatif ini direncana dengan objektif utama untuk mengukuhkan jalinan ukhuwah dan persaudaraan antara Pusat Islam UUM dengan institusi pengajian pondok di negara jiran.
Selain itu, menurutnya, lawatan ini turut membuka ruang bagi perwakilan universiti untuk menelusuri metodologi pengajaran dan pembelajaran Islam yang diaplikasikan, di samping memperluas jaringan kerjasama strategik bersama tuan guru dan barisan asatizah bertauliah.
Menyantuni Ilmuan di Pondok Darul Furqan Destinasi pertama rombongan bermula di Pondok Darul Furqan menerusi sesi pertemuan bersama tokoh agama tempatan, Al-Fadhil Baba Abdullah, yang juga merupakan bapa mertua kepada Al-Fadhil Ustaz Baba Mokhtar Ahmad.
Dalam pertemuan yang penuh bermakna tersebut, Al-Fadhil Baba Abdullah telah menitipkan tausiyah agar setiap individu sentiasa memelihara jati diri ketika mendepani cabaran keruntuhan moral pada akhir zaman.

Beliau memberikan penekanan yang mendalam terhadap kepentingan penjagaan kesucian hati dan akal, serta mengingatkan tentang hakikat kefanaan dunia, justeru beliau menasihati hadirin agar terus melazimi pengajian ilmu usuluddin, feqah, dan tasawuf sebagai pengukuhan kepada iman dan taqwa demi mencapai keselamatan di dunia dan akhirat.
Pada masa yang sama, kunjungan ini juga menjadi platform untuk menyantuni dan memperkukuh ukhuwah bersama Al-Fadhil Ustaz Baba Mokhtar Ahmad. Beliau telah menjalin kerjasama erat dengan Pusat Islam UUM dengan mengadakan kuliah pengajian kitab bulanan setiap minggu pertama dan akan melaksanakan Program Pondok Universiti pada bulan Julai 2026 bersama Pusat Islam UUM. Pertemuan ini juga menzahirkan tanda ingatan dan penghargaan atas komitmen berterusan beliau yang sentiasa sudi meluangkan masa menyampaikan pengajian kitab turat di Dewan Seminar Pusat Islam UUM.
Delegasi seterusnya meneruskan kembara ke Pondok Islam Pauh Kumbang bagi menyantuni warga institusi tersebut dan menyelami ekosistem pendidikan yang diamalkan. Menerusi perbincangan dua hala yang membina, pihak Pusat Islam UUM dan pengurusan pondok telah mencapai kesepakatan untuk bertukar-tukar pandangan dan kepakaran.

Kesepakatan ini diharap dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih komprehensif serta memberi nilai tambah kepada kecemerlangan pendidikan Islam di universiti.
Secara keseluruhannya, kunjungan mahabbah ini bukan sahaja berjaya merapatkan tautan persaudaraan serumpun, malah menyemarakkan lagi usaha pemerkasaan pendidikan rohani dan keagamaan bagi warga universiti pada masa hadapan.



