Education

Misi Transformasi SEFB 2026: Satukan idea strategik, kukuhkan sinergi warga kerja

Gambar Muhammad Syazwi Solihin

PULAU PINANG, 23 Jun 2026: Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menganjurkan Program Hala Tuju Strategik: Transformasi dan Kelestarian SEFB 2026 di Batu Ferringhi pada 18 hingga 19 Jun lalu.

Program intensif selama dua hari ini menghimpunkan seluruh warga kerja SEFB bagi menilai pencapaian semasa, di samping merangka pelan tindakan strategik jangka pendek, sederhana, dan panjang demi mendepani landskap pengajian tinggi yang semakin dinamik.

Dekan SEFB, Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd Rashid dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa keberkesanan pelan strategik ini bergantung sepenuhnya kepada komitmen dan keterbukaan seluruh warga kerja.

Beliau turut menekankan kepentingan budaya kerja yang berteraskan akauntabiliti dan kesepaduan tindakan untuk memacu organisasi ke tahap yang lebih tinggi.

“Program ini bukan sekadar ruang untuk membincangkan perancangan tahunan, tetapi menjadi medan untuk kita membina visi bersama yang mampu memacu kecemerlangan SEFB.

“Kekuatan sesebuah organisasi terletak pada kesatuan fikiran, kesepaduan tindakan dan komitmen semua warga kerjanya,” katanya.

Sepanjang program, peserta terlibat aktif dalam bengkel berfokus bagi menyumbang idea kreatif ke arah memperkukuhkan aspek akademik, penyelidikan, penerbitan, jaringan industri, pengantarabangsaan, pembangunan pelajar serta tadbir urus organisasi.

Bagi menyuburkan semangat kerja berpasukan, aktiviti Outdoor Team Building turut diselitkan bagi meningkatkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan dalam suasana yang harmoni.

Program diakhiri dengan pembentangan resolusi strategik yang bakal menjadi panduan utama dalam memacu agenda transformasi SEFB.

Langkah proaktif ini membuktikan komitmen berterusan SEFB UUM dalam merealisasikan visi universiti sebagai peneraju pendidikan dan pengurusan bertaraf global. – Aliya Maisarah Abdul Rahim

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button