Education

Naskhah Wakaf, Jiwa Bertaut dengan Al-Quran wakaf Sultan Mizan Zainal Abidin

Berita dan gambar Muhammad Syazwan Menon

KULIM, 22 Jun 2026: Program Siswa Dengan Al-Quran terus diperkasakan menerusi pelaksanaan Projek Quran Wakaf Sultan Mizan Zainal Abidin yang menjadi antara pengisian utama dalam Majlis Penutup Q-INSPIRE CAMP: Inspired by Quran, Driven for Success (QI Camp).

Inisiatif hasil kerjasama antara Pusat Islam UUM dan Pusat Zakat dan Wakaf (PZW) UUM ini bertujuan membudayakan amalan membaca, memahami dan menghayati al-Quran dalam kalangan pelajar universiti.

Majlis penyerahan naskhah Al-Quran Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin telah disempurnakan sempena majlis penutup program yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri.

Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md. Sabri berkata, pemberian naskhah al-Quran bukan sekadar simbolik, malah menjadi usaha berterusan universiti untuk memastikan mahasiswa sentiasa menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan dan pembelajaran.

Menurutnya, objektif utama program ini adalah untuk melahirkan generasi pelajar yang mempunyai hubungan rapat dengan al-Quran, menghayati nilai-nilai Islam serta mampu mengaplikasikan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.

Beliau turut menyatakan bahawa Pusat Islam UUM berhasrat memperluaskan lagi Program Siswa Dengan Al-Quran agar lebih ramai pelajar mendapat manfaat daripada projek wakaf al-Quran pada masa akan datang.

Sepanjang QI Camp, peserta turut mengikuti pelbagai pengisian kerohanian seperti qiamullail, solat berjemaah, tazkirah subuh, sesi refleksi diri berasaskan al-Quran dan aktiviti Explorace Qurani yang menekankan nilai kerjasama, kepimpinan serta penyelesaian masalah berpandukan prinsip Islam.

Sementara itu, Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf UUM, Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali menyifatkan program seumpama ini sebagai platform terbaik untuk memperkukuhkan budaya ilmu dan kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan warga kampus.

Beliau berharap projek wakaf ini menjadi amal jariah yang berpanjangan serta menyumbang kepada pembentukan generasi pelajar rabbani yang mampu memimpin masyarakat dengan ilmu, hikmah dan akhlak yang mulia.

“Apabila mahasiswa dekat dengan al-Quran, mereka bukan sahaja memperoleh ilmu, malah memperoleh panduan hidup yang akan memimpin mereka menuju kejayaan dunia dan akhirat,” katanya.

Melalui Projek Quran Wakaf Sultan Mizan Zainal Abidin, universiti berharap lebih ramai pelajar dapat memanfaatkan naskhah al-Quran yang diterima sebagai teman sepanjang pengajian dan seterusnya menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi rabbani yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button