Pelajar BHalal UUM dalami kawalan biosekuriti di MAQIS Kedah
Gambar Danisha Auni Khairul Anuar
BUKIT KAYU HITAM, 21 Jun 2026: Seramai 34 pelajar Program Sarjana Muda Pengurusan Halal dengan Kepujian (BHalal), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama lima pensyarah BHalal telah menyertai satu lawatan akademik ke pejabat Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Kedah di Bukit Kayu Hitam bagi memperkukuhkan pemahaman mereka tentang kawalan biosekuriti dan peraturan halal di pintu masuk negara.
Lawatan ini dianjurkan oleh Persatuan Pengurusan Halal (SHaM) dengan kerjasama kursus BIMCN3023 Perundangan dan Kawalan Halal sebagai sebahagian aktiviti pembelajaran luar bilik kuliah yang menghubungkan teori dengan amalan sebenar di lapangan.

Dalam sesi taklimat utama, Ketua Unit UPP MAQIS Negeri Kedah, Mohd Sukor Shafie menerangkan mandat serta fungsi MAQIS dalam mengawal kemasukan dan pengeluaran barangan di sempadan negara, khususnya produk pertanian dan makanan yang sensitif dari sudut keselamatan serta status halal.
Beliau menekankan bahawa setiap barangan yang memasuki negara perlu mematuhi peraturan kuarantin dan biosekuriti yang ketat bagi melindungi pengguna serta sektor pertanian tempatan daripada ancaman penyakit dan perosak.
Penjelasan beliau memberi gambaran menyeluruh kepada pelajar tentang kedudukan MAQIS sebagai benteng pertama negara dalam menjaga keselamatan makanan dan rantaian bekalan halal.
Pengarah Program, Aina Syafiqa Mansor berkata, pelajar turut didedahkan kepada proses permohonan dan pengeluaran permit untuk pelbagai jenis produk pertanian seperti buah-buahan, benih tanaman dan bahan tanaman lain yang dikawal.
Pegawai MAQIS menjelaskan bahawa terdapat jenis-jenis benih tertentu yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke Malaysia bagi mengelakkan risiko kemasukan penyakit baharu dan ancaman perosak yang boleh menjejaskan kelestarian sektor pertanian negara.

Pihak MAQIS juga menerangkan bahawa haiwan peliharaan yang dibawa masuk dari luar negara perlu menjalani proses kuarantin mengikut peraturan yang berkuat kuasa, sebagai langkah pencegahan bagi melindungi kesihatan awam dan industri penternakan domestik.
Sementara itu, Timbalan Dekan Akademik IBS, Prof. Madya Dr. Syarifah Md Yusof berkata, lawatan ini amat signifikan kerana pelajar dapat melihat secara langsung bagaimana prinsip kawalan dan peraturan halal yang dipelajari di bilik kuliah diterjemah kepada amalan penguatkuasaan di sempadan.
Menurutnya, pendedahan terhadap prosedur pemeriksaan, dokumentasi dan pematuhan perundangan membantu pelajar memahami bahawa jaminan halal bukan sekadar terhad kepada pensijilan, malah meliputi keseluruhan rantaian bekalan daripada sumber sehingga produk masuk ke pasaran tempatan.
Katanya, pengalaman di pintu masuk sempadan ini turut meningkatkan kesedaran pelajar tentang tanggungjawab profesional mereka kelak dalam memastikan integriti halal dan keselamatan produk yang dinikmati pengguna.

“Lawatan akademik ke MAQIS Kedah ini sebagai satu platform penting untuk memperkukuhkan kompetensi pelajar BHalal dalam memahami hubungan antara kawalan biosekuriti, peraturan halal dan keselamatan makanan negara.
“Program sedemikian juga sejajar dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan pengurusan halal yang bukan sahaja mahir dari sudut teori, tetapi mampu berinteraksi dengan agensi penguatkuasaan dan industri secara efektif,” katanya.
IBS merakamkan penghargaan kepada pihak MAQIS Kedah atas kesudian menerima kunjungan dan berkongsi kepakaran, serta berharap kerjasama strategik seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuhkan ekosistem pendidikan dan industri halal IBS merakamkan penghargaan kepada seluruh warga MAQIS Kedah atas kesudian menerima kunjungan serta berkongsi kepakaran, dan berharap kerjasama strategik ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh ekosistem pendidikan dan industri halal negara. – Dr. Norazilawati Md Dahlal



