Education

Pelajar BRMI anjur Program SULAM Bersama Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam

Berita dan gambar Dr. Amar Yasier Razli

BUKIT KAYU HITAM, 6 Julai 2026: Seramai 35 pelajar program Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans (BRMI), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mengikuti kursus BWRRK3093 Seminar in Risk Management and Insurance (A) telah menjayakan program Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) bertajuk ‘A Day with Firefighters: Awareness on Cyber Security Risk’ di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam.

Program dimulakan dengan taklimat awal oleh Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam, Zaizatulniza Razali, diikuti kata-kata aluan oleh Pensyarah Kursus, Dr. Amar Yasier Razli.

Dr. Amar Yasier merakamkan penghargaan kepada pihak balai atas kesudian menerima kehadiran pelajar UUM dan memberi ruang kepada mereka untuk melaksanakan aktiviti SULAM bersama pegawai serta anggota bomba.

“Melalui program ini, pelajar bukan sahaja dapat berkongsi ilmu berkaitan risiko keselamatan siber, malah turut berpeluang mempelajari secara langsung budaya kerja dan disiplin yang diamalkan oleh anggota bomba,” katanya.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang program, termasuk gotong-royong di sekitar kawasan balai serta permainan dalam kumpulan bersama pegawai dan anggota bomba. Aktiviti tersebut bertujuan mengeratkan hubungan antara pelajar dan warga balai, selain memupuk nilai Kerjasama dan komunikasi berkesan

Pelajar BRMI turut mengadakan sesi perkongsian mengenai risiko keselamatan siber dengan memberi penekanan kepada penggunaan internet secara selamat, sama ada sebagai individu mahupun penjawat awam. Antara aspek yang diketengahkan termasuk kepentingan menjaga kerahsiaan maklumat peribadi dan rasmi, mengenal pasti pautan mencurigakan, dan meningkatkan kewaspadaan terhadap ancaman penipuan dalam talian.

Dalam program yang sama, pihak Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam turut menyampaikan taklimat khusus berkenaan fungsi dan operasi JBPM. Taklimat tersebut memberi pendedahan kepada pelajar tentang peranan bomba sebagai antara agensi keselamatan awam yang mempunyai tahap kesiapsiagaan tinggi dalam menghadapi pelbagai insiden kecemasan seperti kebakaran, kemalangan dan operasi menyelamat.

Selain itu, pelajar turut didedahkan kepada aspek berkaitan tuntutan insurans yang melibatkan kejadian kebakaran. Melalui pelaksanaan SULAM ini, pelajar dapat menghubungkan ilmu di bilik kuliah dengan keperluan komuniti melalui perkongsian berkaitan risiko keselamatan siber, di samping memperoleh pendedahan langsung tentang kesiapsiagaan dan operasi agensi keselamatan awam.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button