Education

Pelajar Kursus GHZMK3053 teroka potensi pelancongan komuniti dalam lawatan akademik 

Gambar STHEM

PERAK, 6 Julai 2026: Bagi merasai sendiri pengalaman industri pelancongan pulau yang dinamik, seramai 43 pelajar kursus GHZMK3053 Tourism Transportation Kumpulan B telah menyertai lawatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) ke Pulau Pangkor, baru-baru ini.

Program lawatan akademik selama dua hari satu malam ini bertujuan mendedahkan pelajar kepada realiti pengurusan pelancongan, kelestarian ekosistem pulau serta peranan sistem pengangkutan dalam menjana ekonomi komuniti setempat melalui sektor pelancongan domestik.

Program dimulakan dengan sesi taklimat khas di Marina Island Jetty yang memberi peluang kepada pelajar untuk memahami aspek operasi hab pengangkutan, pengurusan aliran pelancong serta logistik maritim yang menjadi nadi utama kepada kebolehcapaian (accessibility) destinasi pelancongan seperti Pulau Pangkor.

Pensyarah Pengiring, Muhammad Zulhilmi Zulkurnain berkata, Pulau Pangkor dipilih kerana keunikannya sebagai sebuah pulau pelancongan yang menawarkan rantaian sistem pengangkutan domestik yang pelbagai, bermula daripada perkhidmatan feri dan jeti sehinggalah kepada pengangkutan ikonik pulau seperti van merah jambu (pink van).

“Melalui lawatan seperti ini, pelajar bukan sahaja mempelajari teori di dalam bilik kuliah, malah berpeluang melihat sendiri bagaimana ekosistem pengangkutan dan pelancongan saling melengkapi.

“Mereka juga dapat berinteraksi dengan pelancong tempatan dan antarabangsa serta memahami cabaran logistik yang dihadapi oleh pengusaha tempatan,” katanya.

Sepanjang berada di pulau tersebut, pelajar telah dibawa melawat ke beberapa lokasi strategik termasuk Kota Belanda bagi mempelajari sejarah dan warisan tempatan, Masjid Cina, serta kawasan perkampungan nelayan untuk meneliti sosioekonomi masyarakat setempat.

Program diteruskan dengan aktiviti sukaneka pantai yang bertujuan memupuk semangat kerja berpasukan (team building) serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan pelajar. Aktiviti ini bukan sahaja memberi pengalaman yang menyeronokkan, malah membantu membangunkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah yang amat diperlukan dalam industri pelancongan dan perkhidmatan.

Selain itu, pelajar turut menjalankan temu bual bersama pengusaha Marina Island Jetty dan penyedia perkhidmatan pengangkutan tempatan bagi mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang cabaran pengurusan pengangkutan serta peranannya dalam menyokong pembangunan pelancongan Pulau Pangkor.

Wakil pelajar, Ku Nur Iffah Ku Hashiam berkata, pengalaman tersebut amat berharga kerana memberikan pendedahan secara langsung kepada operasi sebenar industri.

“Kami dapat memahami dengan lebih mendalam bagaimana penjenamaan Pulau Pangkor serta kecekapan sistem pengangkutan memberi impak langsung kepada sosioekonomi penduduk pulau.

“Pengalaman ini membuka mata kami tentang pentingnya integrasi sistem pengangkutan dalam memastikan pembangunan sektor pelancongan yang mampan,” katanya.

Lawatan akademik ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan menggabungkan pembelajaran teori dan pengalaman lapangan secara menyeluruh.

Program seperti ini diharapkan dapat melahirkan graduan yang lebih kompeten, berfikiran kritis dan bersedia menyumbang idea kreatif dalam memajukan industri pengangkutan dan pelancongan negara pada masa hadapan. – Ku Nur Iffah Ku Hashiam

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button