Education

Pelajar SOC UUM raih johan MariaDB Hackathon Malaysia 2026

Gambar Prof. Madya Dr. Massudi Mahmuddin

KUALA LUMPUR, 21 Jun 2026: Sekumpulan lima pelajar Tahun 2 dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengharumkan nama universiti apabila berjaya meraih johan dalam MariaDB Hackathon Malaysia 2026, sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000 di Institut Kenegaraan Perdana pada Khamis lalu.

Pasukan tersebut terdiri daripada Muhammad Zikri Mohd Amin, Muhammad Aizat Saidi, Muhammad Zairil Amni Mohd Zaini, Muhammad Naszrul Mohd Zaidi dan Muhammad Syabil Sahul Hamid berjaya mencatat kejayaan menerusi projek inovatif yang dikenali sebagai SecureVault. Pasukan ini turut diiringi oleh pensyarah SOC, Prof. Madya Dr. Massudi Mahmuddin.

MariaDB Hackathon Malaysia 2026 merupakan pertandingan inovasi teknologi yang menghimpunkan pelajar institusi pengajian tinggi bagi membangunkan penyelesaian digital menggunakan teknologi pangkalan data MariaDB.

Pertandingan ini dianjurkan dengan penajaan oleh MariaDB Foundation dan Crest Infosolutions Sdn. Bhd., serta Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) sebagai hos bersama.

Muhammad Zikri berkata, SecureVault merupakan aplikasi penyimpanan fail yang dibangunkan untuk membantu pengguna menyimpan, mengurus dan berkongsi dokumen penting dengan lebih selamat dan sistematik.

Menurutnya, aplikasi ini memberi tumpuan kepada perlindungan data pengguna di samping menyediakan pengalaman penggunaan yang mudah dan mesra pengguna.

“Pembangunan SecureVault bertujuan memenuhi keperluan pengguna yang semakin bergantung kepada penyimpanan digital dalam urusan harian, pembelajaran dan pekerjaan.

“Melalui aplikasi ini, pengguna dapat mengurus dokumen penting dengan lebih teratur serta meningkatkan keyakinan terhadap keselamatan data yang disimpan,” katanya.

Kejayaan ini membuktikan kemampuan pelajar UUM dalam mengaplikasikan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di dalam bilik kuliah bagi menghasilkan penyelesaian digital yang relevan dengan keperluan semasa.

Pencapaian tersebut juga mencerminkan budaya inovasi dan kecemerlangan yang terus dipupuk dalam kalangan pelajar Pusat Pengajian Pengkomputeran. – Muhammad Aizat Saidi

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button