Pembangunan Standard Resipi Produk Warisan Berasaskan Pendekatan ABCD, Komuniti Felda Bukit Tangga
Berita dan gambar Dr. Tuan Muhammad Zukri Tuan Sembok
SINTOK, 6 Julai 2026: Bengkel Pembangunan Standard Resipi (teori dan praktikal) bagi produk pajeri rebung hutan retort dalam kalangan peserta komuniti Felda Bukit Tangga telah diadakan baru-baru ini.
Program ini adalah merupakan modul ketiga dalam projek Belia Pembangun Ekonomi Melalui Inovasi Komuniti Inklusif (B-PEMIKIR) yang dibiayai dibawah Geran Inovasi Sosial (SIGS) yang diketuai oleh Dr. Tuan Muhammad Zukri Tuan Sembok.

Sebelum ini, peserta telah mengikuti dua modul iaitu:
- Modul Pembangunan Kendiri & Komuniti Inklusif (KENALI) – Modul ini komuniti dapat mengenal pasti potensi diri dan komuniti melalui pendekatan Partcipotory Rural Appraisal (PRA), Asset Based Community Development (ABCD) dan Nominal Group Technique (NGT) bagi membangunkan sumber ekonomi baharu yang berdaya pasaran yang telah dikendalikan oleh Dr Tuan Muhammad Zukri, Prof. Madya Dr. Zarina Mat Saat, Prof. Madya Dr. Zakiyah Jamaluddin dan Dr. Adi Syahid Mohd Ali.
- Modul Bengkel Pengendalian Makanan – Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam kebersihan, keselamatan serta pengendalian makanan yang betul yang melibatkan wakil industri
Bengkel Pembangunan Standard Resipi merangkumi sesi teori dan praktikal telah dikendalikan oleh Norhafizi Nordin yang juga merupakan salah seorang ahli penyelidik geran ini.

Dr. Tuan Muhammad berkata, bengkel ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang konsep dan kepentingan pembangunan resipi standard bagi memastikan penghasilan produk makanan yang lebih sistematik, konsisten dan berkualiti.
Melalui bengkel ini, menurutnya, peserta dibimbing untuk menyediakan resipi standard dengan kaedah yang betul serta mengaplikasikan teknik pemprosesan makanan menggunakan teknologi retort. Pendekatan ini penting dalam memastikan produk yang dihasilkan bukan sahaja selamat untuk dimakan, malah mempunyai nilai komersial dan berpotensi untuk dipasarkan dengan lebih meluas.
“Projek B-PEMIKIR merupakan satu inisiatif pemerkasaan komuniti yang bertujuan membantu masyarakat setempat membangunkan potensi komuniti mereka sendiri melalui pendekatan yang lebih tersusun, inklusif dan berasaskan kekuatan sedia ada.
“Projek ini memberi penekanan kepada penglibatan belia sebagai generasi pelapis bersama generasi berpengalaman dalam komuniti bagi memastikan ilmu, kemahiran dan legasi produk warisan tempatan dapat terus dipelihara, diwarisi dan dikembangkan,” katanya.

Melalui kerjasama antara belia dan generasi berpengalaman, projek ini bukan sahaja berperanan mengekalkan identiti serta nilai tradisi produk warisan, malah turut membuka ruang kepada proses pemindahan ilmu, bimbingan dan perkongsian pengalaman antara generasi.
Belia dilihat sebagai kumpulan penting yang mampu meneruskan kesinambungan potensi produk warisan tersebut dengan memberi nilai tambah melalui elemen inovasi, penjenamaan, pembungkusan, pemasaran digital dan penyesuaian produk mengikut keperluan pasaran semasa.
Sehubungan itu, B-PEMIKIR menjadi platform strategik untuk membina keupayaan komuniti secara bersama, iaitu dengan menggabungkan kearifan tempatan generasi berpengalaman dan kreativiti belia.
Pendekatan ini diharap dapat memastikan produk warisan yang telah diusahakan sebelum ini bukan sahaja terus bertahan, malah berpotensi untuk dikembangkan sebagai sumber ekonomi komuniti yang lebih mampan dan berdaya saing.



